Berita

560 Pangsapuri Presint 11 Dibuka Untuk Tempahan

PUTRAJAYA  – Sebanyak 560 unit pangsapuri di Presint 11 di sini yang akan dibina bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) kini dibuka untuk tempahan kepada semua yang memenuhi syarat yang ditetapkan.

Setakat ini, sebanyak 470 permohonan tempahan telah diterima sejak dibuka pada 30 Sept lalu dan akan berakhir pada 12 Okt. ini.

Proses pemilihan pembeli akan dilakukan secara pengundian dan akan dipantau oleh firma akauntan bertauliah bagi memastikan pemilihan dilakukan secara telus dengan  proses cabutan pemohon unit pangsapuri akan dilakukan pada 15 Okt. ini.

Pemohon yang ingin membuat tempahan juga haruslah memenuhi syarat kelayakan antaranya warga negara Malaysia berusia 21 tahun ke atas, bermastautin atau bekerja di Putrajaya dan merupakan pengundi berdaftar di kawasan Putrajaya.

Selain itu, pemohon hendaklah mempunyai tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan mempunyai pendapatan isi rumah kasar yang tidak melebihi RM6,000 sebulan.

Antara lain, pemohon juga terbahagi kepada dua kategori iaitu senarai yang dipanggil dengan melalui proses saringan dan menunggu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembelian unit pangsapuri itu boleh melayari laman web www.pmo.gov.my.