Ucapan

Fahami Syarat Pembelian PRIMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dan semua pihak yang memberikan sambutan baik kepada Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang menempatkan Putrajaya sebagai lokasi pertamanya.

Insya-Allah, pada 15 Okt. ini proses cabutan pemohon unit pangsapuri akan dibuat secara pengundian dengan dipantau oleh firma akauntan bertauliah bagi memastikan ketelusan pelaksanaanya.

Namun demikian, angin kencang di Putrajaya mempersoalkan kenapa syarat diberi khususnya kepada pemastautin Putrajaya, pengundi di sini dan juga hanya kepada pembeli rumah pertama sahaja. Sebenarnya, saya meminta agar syarat ini diwujudkan kerana berdasarkan penjualan-penjualan yang lalu, rumah mampu milik dan juga beberapa kawasan di sekitar Putrajaya ini telah banyak pembeli yang tidak dikenali mengambil kesempatan atas peluang yang diberi.

Dalam hal ini, saya melihat apabila tidak diberi syarat yang ketat maka akan ada pembeli yang tidak bermastautin di Putrajaya dan lebih menyedihkan apabila mereka bertindak menyewakan rumah mereka kepada orang lain termasuklah warga asing sehinggakan satu pangsapuri didiami oleh lebih 20 orang.

Satu insiden yang tidak diingini juga telah berlaku apabila kebakaran terjadi ekoran kawasan dapur dalam pangsapuri tersebut turut dijadikan sebagai bilik tidur.

Begitu juga dengan rumah-rumah teres yang dijual tanpa menetapkan syarat-syarat ketat sehinggakan sekarang saya terpaksa meminta pihak Perbadanan Putrajaya mengawasi kawasan-kawasan dimana ada sebuah rumah yang didiami sehingga 40 orang warga asing.

Justeru, saya harap dengan syarat-syarat yang ditetapkan PRIMA ini akan dipatuhi dan secara tidak langsung memberi peluang kepada mana-mana pihak yang benar-benar memerlukan rumah dan pembeli yang betul-betul mahu bermastautin di kawasan ini.

Jadi saya sarankan kepada pembeli agar faham bahawa 560 unit yang dilakukan oleh PRIMA di sini adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang masih belum memiliki kediaman dan pemastatutin di Putrajaya.

Terima kasih