Berita

PR1MA Buka Ruang Pencarian Rumah

PUTRAJAYA – Setelah tiga tahun berusaha mendapatkan rumah sendiri, impian Mohamad Norazam Azman Shah, 25, bakal menjadi kenyataan apabila terpilih antara pemenang untuk memiliki 560 unit rumah mampu milik melalui Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) hari ini.

Lebih istimewa, nombor beliau dicabut sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasmikan majlis cabutan itu di Pusat Kejiranan Presint 11 di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohamad Norazam berkata beliau sebenarnya tidak meletakkan harapan yang besar untuk memenangi cabutan itu memandangkan terdapat lebih 7,000 permohonan untuk program itu.

“Saya tidak berada di sini semasa pengumuman itu, tetapi apabila ibu yang berada di sini menghubungi saya melalui telefon dan memberitahu bahawa nombor saya dicabut sendiri oleh Perdana Menteri, saya bagaikan tidak percaya.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri,” kata bapa kepada seorang anak berusia tujuh bulan itu.

Mohamad Norazam yang merupakan peniaga di Pasar Tani Presint 2 di sini, berkata beliau telah lama memasang impian untuk memiliki rumah sendiri kerana beliau dan keluarga kini tinggal bersama ibunya di kuarters kerajaan di Presint 9.

“Saya mencari rumah di banyak kawasan termasuk Kajang dan Bangi tapi tidak dapat meneruskan impian untuk memiliki rumah kerana harga rumah yang terlalu tinggi, sedangkan pendapatan bulanan saya sekitar RM2,000 sahaja dan isteri saya pula tidak bekerja.

“Jadi saya rasa program seperti ini amat bagus kerana ia memberi peluang kepada ramai pihak yang tidak berkemampuan seperti saya untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Abdul Mutalib Alias berkata 560 pemenang cabutan pada hari ini dikehendaki menyediakan dokumen-dokumen berkaitan bagi pengesahan yang akan dijalankan oleh jawatankuasa penapisan.

Beliau berkata selain 560 cabutan itu, nombor-nombor tambahan juga akan dicabut sebagai senarai simpanan untuk dipilih sekiranya ada di antara 560 pemohon itu tidak menepati syarat yang ditetapkan.

Unit mampu milik di Presint 11 yang sedang dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd itu merangkumi 420 unit rumah berkeluasan 815 kaki persegi berharga RM120,000 seunit dan 140 unit rumah berkeluasan 1,006 kaki persegi berharga RM150,000 seunit.