Manifestasikan Falsafah Aidiladha Dalam Kehidupan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Aidiladha 1432 ini sesungguhnya memberi penuh makna kepada kita semua dalam erti untuk menghayati dan menyelami iktibar daripada semangat pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang bersedia melakukan apa sahaja demi mencapai keredaan Allah SWT. Pengorbanan sangat besar ertinya yang bukan untuk nafsu serakah kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat sebaliknya kehancuran dan kerugian semata-mata.
Semoga Aidiladha ini akan dapat kita raikan bersama-sama melalui Jamuan Rakyat Aidiladha yang akan dilaksanakan di kawasan lapang Presint 8 dengan 41 ekor lembu akan dikorbankan. Selain meraikan Aidiladha, sambutan ini juga adalah satu lagi manifestasi dalam ketulusan jiwa nurani kita bersama-sama dengan muafakat memohon keredhaan Ilahi.
Saya menyeru semua pihak agar mengambil falsafah Aidiladha untuk pembangunan ummah sejagat dan bermuhasabahlah dengan ikhlas kerana Aidiladha mengajar umat betapa setiap perjuangan itu memerlukan cita-cita dan idealisme yang disebatikan dengan prinsip dan nilai Islam sejati.
Setiap perjuangan juga menagih komitmen setiap pendukungnya untuk bersedia mengharung rintangan demi melestarikan cita-cita demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Selamat Hari Raya Aidiladha