Ucapan

Waspada Dengan Penipuan Bertopengkan Nama Saya – Tengku Adnan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pagi tadi saya telah didatangi oleh pasangan yang telah ditipu individu yang kononnya mengaku sudah mendapat projek untuk bangunan sebuah apartmen mewah dan telah memperdaya pasangan terbabit untuk membuat pelaburan dalam projek terbabit sedangkan ia tidak wujud.

Saya amat kecewa dengan insiden penipuan terbabit kerana ia dilakukan oleh individu yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat sebagai pemimpin pengerusi komuniti tempatan, melakonkan aksi seakan alim malah seringkali menjadi imam di kawasan tempat tinggalnya selain bersikap ramah kepada masyarakat.

Lebih mengecewakan lagi apabila nama saya dipalit sama selain seorang Exco di bahagian saya turut dikaitkan sebagai kononnya amat akrab dengan kami sedangkan ia adalah sebaliknya.

Biar pun sudah beberapa kali saya menerima laporan berkaitan penipuan sedemikian tetapi oleh kerana kelicikan individu terbabit maka tiada bukti dapat dikaitkan.

Namun demikian sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua lantas berdasarkan bukti yang diperoleh daripada pasangan terbabit maka laporan polis telah dibuat agar siasatan rapi dijalankan dan pihak terbabit menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang telah dibuat.

Saya amat sedih dan bersimpati dengan mana-mana pihak yang telah tertipu termasuklah pasangan terbabit yang membuat aduan hinggakan mengalir airmatanya. Manakan tidak, wang berjumlah RM17,000 yang dilaburkan dengan harapan akan mendapat keuntungan hanya sia-sia apatah lagi wang tersebut adalah pinjaman. Malah lebih teruk kerana ada aduan dibuat berkaitan penipuan yang sama sehinggakan pelabur sanggup membuat pinjaman kepada peminjam haram termasuk ‘along’.

Sehubungan itu saya menyeru semua penduduk tempatan khususnya kakitangan kerajaan agar tidak mudah terpedaya oleh orang seperti ini yang bermuka-muka dan sanggup mempergunakan nama orang lain untuk melakukan penipuan demi keuntungan sendiri.

Saya juga amat berharap agar tiada mana-mana anggota masyarakat termasuk penjawat awam yang terjerumus dalam kancah penipuan seperti ini hanya untuk mendapatkan kemewahan dan kesenangan dalam masa yang singkat.

Sesungguhnya, kesenangan terbaik akan diperoleh dengan melakukan atas usaha sendiri selain membuat penelitian rapi sebelum terperangkap dalam kebinasaan dan kemurungan berpanjangan.

Wassalam
18 Nivember 2011