Ucapan

Jadikan Agenda Perkukuh Perpaduan Demi Kesejahteraan Sempena Tahun Baru 2012

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Tahun 2011 telah sampai ke penghujungnya dan tahun baru 2012 menggamit kita untuk mengisinya dengan perancangan mantap bagi memastikan kelangsungan hidup terus sejahtera dan bertambah baik dari semasa ke semasa. Pastinya apabila tahun baru menjelma maka azam baru akan diperkata dengan dalam masa yang sama kita menyusur kembali perjalanan 2011.

Sesungguhnya peristiwa baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan. Insya-Allah, dengan kehadiran tahun baru ini kita akan berupaya untuk menyemarakkan terus obor perjuangan yang telah dinyalakan oleh tokoh-tokoh terdahulu.

Dalam perjalanan waktu dari tahun ke tahun, sejak sekian lama kita telah merasai kenikmatan dengan keamanan dalam kelestarian negara yang stabil biarpun kita hidup dengan kesatuan dalam kepelbagaian, kita perlu menoleh ke belakang bagi memastikan pilihan dan pengisian kehidupan kita di masa hadapan. Ingatlah, jangan sesekali memperjudikan pilihan dalam menentukan kepimpinan hanya kerana ketidakpuasan hati atau ada sesuatu yang gagal dicapai sedangkan masa depan anak cucu kita adalah terletak kepada apa yang kita lakukan.

Sebagaimana onak dan rintangan tahun 2011 yang telah berjaya diharungi maka marilah kita bersama-sama terus berganding bahu bagi merapatkan ukhwah dengan perpaduan dan permuafakatan tercapai bagi menongkah halangan dan cabaran pada tahun 2012.

Selamat Tahun Baru 2012

DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen & Ketua UMNO Bahagian Putrajaya
30 Disember 2011