Berita

Kesatuan Dalam Kepelbagaian Hasilkan Keharmonian Bersama

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, tanah air kita dilimpahi dengan nikmat dan rahmat dari-Nya yang tidak berbelah bahagi biarpun kita hidup dalam perkongsian kuasa sebagaimana UMNO dalam Barisan Nasional (BN), dengan rakyatnya pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain lagi.

Kepelbagaian ini menjadikan kita satu kesatuan yang membentuk kebudayaan unik apabila pelbagai bangsa yang tentunya menganut agama berbeza dan budaya berlainan tetapi mengamalkan cara perkongsian dan menikmati kehidupan harmoni, saling memahami dan saling bertolak ansur antara resepi kejayaan dan kesejahteraan negara kita.

Dalam hal ini, keseimbangan dengan kesatuan dalam kepelbagaian telah menjadikan masyarakat kita memiliki pelbagai perayaan yang disambut bersama sebagaimana masyarakat Cina yang akan meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada 23 Januari ini. Namun demikian, menariknya, perayaan Gong Xi Fa Cai ini turut ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang akan menikmati cuti umum hari perayaan tersebut, selain turut sama kunjung mengunjungi antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, anutan agama dan budaya berbeza.

Lebih istimewa apabila setiap kali perayaan, keranaan BN akan mengadakan sambutan rumah terbuka peringkat kebangsaan termasuklah perayaan Tahun Baru Cina ini yang akan diraikan pada 28 Januari di Lapangan Terbang Sitiawan, Perak sebagai tuan rumah.

Justeru, kepada masyarakat berbangsa Cina di sekitar Putrajaya, saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina sementara bagi warga Malaysia, marilah kita menikmati perayaan tersebut dengan semangat muhibbah dan azam bagi terus bersama-sama berusaha memperteguh perpaduan yang menjadi asas kesejahteraan.

Gong Xi Fa Cai

DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR

Ahli Parlimen Putrajaya/ Ketua Bahagian UMNO Putrajaya