Berita

Program Kesyukuran Sempena Hari Wilayah

PUTRAJAYA – Menjelangnya tarikh 1 Februari, majlis kesyukuran dengan program bacaan surah Yassin, doa selamat dan solat hajat diadakan bersempena Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2012.

Program tersebut berlangsung di Masjid Putra bermula dengan solat Maghrib sehinggalah ke pukul 10.00 dengan dihadiri oleh anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Datuk Abd Ghani Ahmad, ahli jawatankuasa Bahagian UMNO tempatan dan Ketua-ketua Cawangan bersama dengan para penduduk sekitar kawasan tersebut.

Pada 1 Februari 2001, Putrajaya ditubuhkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Ia diletakkan di bawah pentadbiran Perbadanan Putrajaya dan kemudiannya menjadi pusat pentadbiran yang baru bagi Malaysia sehingga kini.

Wilayah Persekutuan ialah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan Malaysia dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan. Tidak seperti negeri-negeri lain bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan tidak diperintah oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Persekutuan dan diperintah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Daripada ketiga-tiga bahagian ini, Kuala Lumpur merupakan ibu kota Persekutuan, Labuan merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Persekutuan.