Ucapan

Lestarikan Putrajaya Sempena Hari Wilayah

Assalamualaikuam Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan kerana Putrajaya mencapai kemajuan dan sekali lagi dapat meraikan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu Wilayah Persekutuan Maju’.

Sesungguhnya tema ini bersesuaian dengan suasana dan persekitaran hari ini selain selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan pembangunan dilaksanakan dengan jayanya sama ada dari aspek material dan kerohanian insan.

Wilayah Persekutuan Putrajaya yang diwartakan pada 1 Februari 2001 sebagai wilayah ketiga selepas Kuala Kumpur dan Labuan dan tentunya kelestariannya selaku pusat pentadbiran dan mercu permodenan negara perlu terus dipelihara.

Impian dan harapan bagi melihat kesejahteraan dan keamanan Putrajaya bukan hanya ada pada para penduduk di kawasan terbabit tetapi ia juga adalah sebahagian daripada kebanggaan seluruh rakyat Malaysia; maka tanggungjawab bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan adalah lebih penting tetapi ianya hanya akan dapat dicapai dengan kata sepakat dan persefahaman bersama semua warga tempatan.

Adalah diharapkan, sempena Hari Wilayah 2012 ini, kerajaan, para penduduk termasuk para petugas di Putrajaya akan mampu merangsang pertumbuhan dan kecemerlangan seluruh warga Wilayah agar dapat seiringan dengan Kerajaan.

1Impian, 1Harapan, 1Kejayaan. Selamat Hari Wilayah 2012.

DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
AHLI PARLIMEN / KETUA UMNO BAHAGIAN PUTRAJAYA
30 Jan 2012