Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia Di Putrajaya
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia MAWIP-Hospital Putrajaya, di Presint 8, pada 19 April dengan mengumumkan pengurangan caj sebanyak 50 peratus untuk pesakit kelas tiga kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas iaitu caj maksimum RM250 bagi setiap kemasukan berkuat kuasa 1 Mei ini.
Katanya, pengumuman itu sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan warga emas yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
”Kita juga telah mengecualikan caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia milik Kementerian Kesihatan berkuatkuasa 1 Januari lalu,” katanya.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin serta ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia menawarkan perkhidmatan Kelas Satu pada bayaran Kelas Tiga, dengan bayaran serendah RM3 rakyat dapat menikmati layanan dan perkhidmatan yang setaraf dengan kemudahan Wad Kelas Satu.
Pusat yang diubahsuai daripada dua blok kuarters untuk kakitangan kerajaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik bersalin berhawa dingin, Pusat Saringan Pesakit (PAC), bilik untuk pesakit antenatal dan postnatal, serta 24 buah katil bagi pesakit pediatrik bersama penjaga mereka.
”Dengan hanya RM3 pesakit boleh mendapatkan rawatan doktor, sewa bilik, ubat-ubatan dan makanan, ini merupakan satu kadar sewaan yang barangkali terbaik didunia kerana kemudahannya bermutu tinggi, bilik pun cukup bersih dan selesa tetapi bayaran sangat rendah.
”Bagi penjawat awam tidak dikenakan bayaran kerana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan untuk menjaga kepentingan rakyat,” katanya.
Najib turut memuji usaha pihak yang berkenaan kerana pengubahsuaian pusat itu hanya menelan belanja RM12 juta merangkumi kos perolehan peralatan perubatan, bukan perubatan dan kenderaan serta pengubahsuaian bangunan.
Perdana Menteri berkata, kos itu merupakan satu penjimatan berbanding pembinaan hospital baru di satu kawasan baru, yang memerlukan peruntukan yang lebih tinggi melibatkan pengambilan tanah, pembinaan yang memakan masa lebih panjang dan membiayai kos buruh yang semakin meningkat.
Katanya, selain penjimatan perbelanjaan, Strategi Lautan Biru yang diterapkan oleh agensi-agensi terlibat dalam menjayakan projek pusat tersebut adalah langkah bijak yang harus dicontohi oleh agensi kerajaan.