Impian ‘Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’ Dalam Himpunan Jutaan Belia
PUTRAJAYA – Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan dalam program Himpunan Jutaan Belia bersempena sambutan Hari Belia Negara dengan secara keseluruhannya, sebanyak 500 aktiviti telah diaturkan sepanjang seminggu.
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia selaku penganjur Himpunan yang dikatakan antara himpunan terbesar di dunia ini akan mengumpulkan lebih sejuta belia untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat kepada para belia di Malaysia ini. Himpunan Jutaan Belia ini adalah bertujuan untuk memertabatkan belia-belia di Malaysia dimana sempena Hari Belia Negara pada 15 Mei lepas akan disusuli dengan Himpunan terbesar ini.
Dengan Bertemakan ‘Jadikan esok lebih baik dari hari ini’, himpunan ini akan menjadi fenomena termasuk pelancaran Himpunan Jutaan Belia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, konsert artis antarabangsa, promosi jelajah seluruh negara, pameran kerjaya, temuduga terbuka, motivasi kerjaya, pelancaran segmen modal insan, program bercorak keagamaan, pameran dan jualan, perbarisan terbesar pasukan beruniform dan banyak lagi.
Sambutan Hari Belia Negara disambut bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan belia di negara ini yang turut memain peranan menyumbang pelbagai jasa kepada kerajaan dan negara.
Pembangunan bakat belia adalah sesuatu yang sangat penting buat negara terutama dalam menjayakan agenda transformasi nasional. Justeru, segala potensi dan bakat yang ada pada golongan ini perlu dibangunkan, diasuh, dibimbing dan diberi latihan secukupnya supaya mereka menjadi modal insan berkualiti, dinamik dan mampu menghadapi cabaran.