Ucapan

Selami Perjuangan UMNO Untuk Masa Depan Lebih Baik

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

ALHAMDULILLAH, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana atas limpah dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam satu landasan perjuangan mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air.

Sepertimana kita sedia maklum, usia UMNO sudah mencapai 66 tahun dan saban tahun pada 11 Mei telah kita raikannya sebagai ‘hari kemenangan’. Tarikh keramat tersebut adalah bukti bahawa perjuangan UMNO selama ini telah memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat khususnya kepada orang Melayu, umat Islam dan semua masyarakat di Malaysia.

Ini berlaku kerana arah tuju perjuangan kita berpaksikan kepada kebenaran, kejujuran dan sentiasa beristiqamah serta tidak pernah lupa kepada amanah untuk menegakkan agama, bangsa dan negara. Iltizam UMNO untuk meningkatkan survival bangsa bagi memastikan orang Melayu terus gagah di tanah airnya sendiri terus bersemarak.

Oleh sebab itu, perjuangan UMNO sentiasa diterima oleh rakyat, sama ada di bandar, pinggir bandar dan luar bandar lantaran keyakinan bahawa hanya UMNO yang mampu menzahirkan kebenaran sebuah perjuangan, bukannya cerita dan janji retorik serta pendustaan politik sebagaimana yang sentiasa bermain di bibir pembangkang.

Sehubungan itu, saya amat berharap seluruh warga UMNO terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan sentiasa berusaha untuk mendekatkan perjuangan parti dengan warga kota terutama generasi muda. Ini kerana golongan tersebut merupakan penentu masa depan negara dan seharusnya diberikan perhatian.

Bagi menjayakan pendekatan ini, UMNO harus berani meneruskan tekad demi perjuangan berterusan, sanggup bekerja sepenuh hati untuk parti dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Aliran transformasi politik yang dicetuskan oleh YAB Presiden parti harus diterjemahkan secara meluas dan dijadikan matlamat ke arah merakyatkan UMNO dan seterusnya memperkasakan perjuangan umat Melayu.

Salam Perjuangan

Bersatu – Bersetia – Berkhidmat

DATUK SERI TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen/Ketua UMNO Bahagian Putrajaya