Berita

Mengapa Mesti UMNO Dituduh dan Dicaci?

KUALA LUMPUR, – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas mana-mana pihak yang seringkali menuduh UMNO atas apa saja kesalahan atau kesulitan yang berlaku termasuklah pelbagai insiden yang berkait dengan pakatan pembangkang.

Tegasnya, UMNO adalah parti yang mempunyai landasan jelas dari dulu, kini dan selamanya dan tidak akan melakukan pelbagai perkara sebagaimana tuduhan daripada mereka.

“Persoalannya kenapa mesti UMNO yang dipersalahkan sedangkan jika dinilai dan difahami perjuangan parti inilah yang telah membawa semangat nasionalisme kebangsaan Melayu untuk bersatu dan seterusnya membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah, kemudiannya keluar dari kepompong kemiskinan sehinggalah ke hari ini Malaysia tersohor di persada antarabangsa,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian ekoran wujudnya beberapa pihak gemar menuding jari kepada UMNO yang ada diantaranya bertanya secara langsung kepada beliau dan melemparkan tuduhan kononnya UMNO adalah punca pelbagai masalah.

“Saya amat sedih apabila parti yang selama ini telah banyak berjasa dan menjadi payung kepada seluruh rakyat Malaysia dicerca, dihina dan diperkecilkan seolah-olah parti ini adalah parti jalanan yang tidak bermaruah sedangkan jasa dan pengorbanan UMNO bukan sedikit nilainya tetapi telah mencakupi semua ruang kehidupan yang dirasai oleh setiap warga Malaysia.

“Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila ada diantara orang yang dangkal menghina UMNO ini adalah dikalangan bangsa Melayu sendiri malah ada diantaranya pernah menyandang kedudukan atau jawatan tinggi sama ada dalam parti atau dalam kerajaan tetapi lantaran ketidakpuasan hati, ada rasa kecewa atau barangkali ada tuntutannya yang tidak dipenuhi maka UMNOlah yang dipersalahkan,” katanya.

Tegasnya lagi, setiap individu sama ada di dalam UMNO atau di luar parti, individu yang bergelar pemimpin termasuklah mereka yang ada dikalangan pakatan pembangkang sewajarnya memikirkan kembali siapakah mereka dahulu dan bagaimana perjalanan hidup mereka?

“Cuba renungkan siapakah para pemimpin dan ahli-ahli dalam pakatan pembangkang sebelum ini kerana ada diantaranya adalah ahli UMNO yang berjawatan dalam parti tetapi keluar dari UMNO kerana kerenah atau tindakan mereka sendiri, lantas bertindak memaki UMNO dari luar walhal perjuangan parti ini tidak pernah ada muslihat atau sandiwaranya.

“Benar bahawa UMNO bukanlah parti yang sempurna dan ada juga kecacatan atau kesilapannya tetapi ia boleh diperbetulkan dan diperbaiki sebagaimana transformasi dan perubahan dilakukan sebaliknya, tindakan menghina, memburuk-burukkan dan mencerca parti yang telah 54 tahun melindungi agama, bangsa dan negara ini adalah ibarat menggigit tangan yang telah memberi makan. Adakah ini budaya kita?”

Tambahnya lagi, tindakan segelintir pihak yang lebih suka mencanang dan memburuk-burukkan UMNO melalui ceramah dan roadshow adalah sesuatu yang memalukan diri sendiri.

“Ada diantara mereka yang sanggup melupakan perjuangan UMNO, mencerca parti yang telah memberi kehidupan kepada mereka sedangkan semasa mereka diberi amanah dan tanggungjawab sama ada dalam UMNO atau kerajaan malangnya mereka ini gagal dan bertindak curang kepada parti.

“Lihatlah bagaimana tingkah pemimpin pembangkang yang hanya pandai berjanji sebagaimana di Selangor… apa jadi, ingat janji di Pulau Pinang… apa jadi, ingat janji di Kedah… apa jadi, ingat janji di Kelantan… apa jadi, ingat bila pembangkang memerintah Terengganu tahun 1999… apa jadi, ingat bila mereka ini memerintah Perak sekejap… apa jadi, ingat janji 16 September… apa jadi, semuanya janji manis, tipu rakyat dan pembohong seperti tiada ada tuhan lagi.”

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat khususnya bangsa Melayu agar sedar dengan agenda dan permainan pembangkang agar tidak mudah terpedaya kerana apabila nasi sudah menjadi bubur maka semuanya sudah terlambat.

“Jangan bila dah terhantuk baru hendak sadar, jangan selepas kita ditungang dan dibuang baru mahu menyesal kerana semuanya akan terlambat biarpun menangis air mata darah sekalipun, sudah tidak berguna.”

Dalam hal ini beliau turut menyebut beberapa insiden yang dikaitkan dengan dengan UMNO antaranya perhimpunan protes yang dilakukan oleh NGO di depan rumah Pengerusi Bersih, S.Ambiga, wawancara ibu Azmin dengan media dituduh plot cerita yang direka oleh UMNO untuk menyerang Azmin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melemparkan tuduhan ke atas UMNO ekoran berlakunya kekacauan semasa Perhimpunan Hijau 2.0 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang mempunyai penyokong seharusnya menunjukkan teladan yang baik, ceramah pembangkang di Sembrong gagal pun tuduh UMNO, malah pemimpin PKR Badrul Amin ditangkap khalwat pun UMNO juga dipersalahkan. – MediaUMNO