‘Magic of the Night’ Bergemerlapan Di Putrajaya
PUTRAJAYA – Panorama indah disajikan kepada pengunjung Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sepanjang 30 Jun hingga 8 Julai ini dengan penganjuran Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia yang bertemakan ‘Magic of the Night’.
Di sebelah siang para pengunjung berpeluang menyaksikan deretan taman-taman bunga berwarna- warni, manakala di sebelah malamnya pula perarakan bot berhias menyusuri Persisiran Tasik Putrajaya yang berhampiran dengan tapak Floria.
Pengunjung pasti akan terpesona dengan simbahan cahaya penuh warna-warni 15 bot berhias yang menyertai acara Magic of the Night pada setiap malam sepanjang Floria 2012 berlangsung.
Tidak cukup dengan itu, perarakan bot berwarna-warni turut diserikan dengan pertunjukan bunga api yang menghiasi langit malam pusat Kerajaan Persekutuan ini.
Gabungan pertunjukan bunga api, perarakan bot berhias dan pameran bunga-bungaan ternyata berjaya menarik puluhan ribu pelancong asing dan tempatan pada malam pertama acara Magic of the Night dimulakan.
Sememangnya perarakan bot berhias, pertunjukan bunga api serta pertunjukan pentas Kementerian Pelancongan menjadi antara acara paling dinantikan oleh semua pengunjung ke acara Magic of the Night ini. Aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan sepanjang sembilan hari acara ini berlangsung adalah program 1Malaysia Bersih 1Malaysia Indah, pertandingan fotografi bot berhias dan persembahan muzik dan kebudayaan.
You must be logged in to post a comment.