Vaksinasi HPV Bukti Keprihatinan Kerajaan Kepada Golongan Wanita
PUTRAJAYA – Keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah terbukti dan untuk kesekian kalinya ia direalisasikan dengan Program Vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) untuk wanita, kata Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya, keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat khususnya wanita telah terbukti sebagaimana dalam Bajet 2012 lalu peruntukan sebanyak RM50 juta diberikan untuk vaksinasi HPV ini.
“Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang pertama menyediakan program vaksinasi HPV ini dengan kumpulan sasar adalah perempuan berusia 18 tahun,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ‘Soft Launch’ Program Vaksinasi HPV untuk Wanita yang berlangsung di Dewan Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hari ini (Isnin, 16 Julai).
Kanser serviks atau kanser pangkal rahima adlah kenser ketiga utama yang terjadi dalam kalangan wanita di Malaysia dengan secara puratanya dianggarkan sebanyak dua hingga tiga kes baru disahkan setiap hari.
“Dengan perkembangan teknologi terkini, sesuatu yang lebih baik ditemui selain daripada penggunaan ‘pap smear’ iaitu dengan mendapatkan vaksinai HPV. Inilah bukti keprihatinan kerajaan kepada golongan wanita,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Hajah Aminah Abdul Rahman serta para pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.