Berita

Pembangkang Dalang Pecahkan Perpaduan Rakyat – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti pembangkang dianggap sebagai dalang atau ‘tukang kipas’ yang memecahbelahkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, pembangkang hanya pandai bercakap, namun apa yang dikatakan mereka adalah sampah.

“Jadi saya minta, anda boleh mendengar apa yang mereka katakan, tetapi kita diberi otak yang boleh berfikir dan buat perbezaan, tolong tanya diri kita masing-masing (siapa yang benar),” katanya dalam ucapan perasmian Program kenduri rakyat yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan, Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar dan wakil pemimpin komuniti.

Majlis tersebut diadakan bagi menghidupkan semula amalan tradisi gotong-royong masyarakat setempat dalam suasana moden pusat pentadbiran kerajaan itu.

Beliau turut menafikan bahawa UMNO merupakan punca kewujudan jurang ideologi politik yang tinggi dalam kalangan rakyat, sebaliknya jurang tersebut dimulakan sendiri oleh PAS.

Beliau berkata ini termasuk tindakan seperti tidak makan daging hasil sembelihan orang UMNO, pasangan yang ingin berkahwin tidak boleh dinikahkan oleh orang UMNO dan tidak boleh sembahyang berimamkan orang UMNO.

“Siapa yang mulakan? Adakah kami? Ini pembangkang dia tunjuk jari pada kita tapi dia lupa, satu jari dia tunjuk kita empat jari sama dia,” katanya.

Majlis perasmian Kenduri Rakyat Local Agenda (LA21) dan Karnival Sepakat Komuniti 1Malaysia diadakan di Presint 9 di sini hari ini, Sabtu, 14 Julai.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan mendakwa UMNO sebagai punca kewujudan jurang ideologi politik yang tinggi dalam kalangan rakyat sehingga menyebabkan perceraian.

Beliau berkata jurang tersebut wujud disebabkan layanan berbeza kerajaan pusat terhadap Kelantan, berbanding negeri lain.

Ini bertujuan meningkatkan hubungan keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat, serta menyebarkan maklumat kepada warga Putrajaya mengenai peranan agensi awam dan perkhidmatan yang ditawarkan.