Berita

Pertandingan Memancing Semarakkan Parlimen Putrajaya

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor bersama dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat telah menyempurnakan permulaan acara pertandingan memancing sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia yang berlangsung di Persisiran Tasik Putrajaya di Presint 4 dan Presint 18 pada Ahad (30 Sept).

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh PPj dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta sebagai rakan program.
Hadiah lumayan berjumlah RM120,000 telah dimenangi melibatkan johan pertandingan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM7,000 beserta hamper, manakala tempat kedua dan ketiga pula membawa pulang wang tunai masing-masing RM5,000 dan RM3,000.
Tarikan utama ialah hadiah perdana iaitu sebuah kereta Perodua Myvi disediakan bagi pemancing yang berjaya menangkap ikan terberat dari jenis yang mempunyai sepuluh mata bagi setiap kilogram selain hadiah kepada pemenang keempat hingga ke-13 akan menerima RM200 beserta hamper

PPj turut menyediakan cabutan bertuah bonanza yang menawarkan lima buah motosikal, lima buah televisyen, lima kad keahlian Kelab Tasik Putrajaya dan 200 hamper kepada para peserta.

Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan dan di atas permintaan ramai, PPj bersetuju untuk meningkatkan bilangan pertandingan kepada enam kali setahun selain memperkenalkan Sirkit Pancing Putrajaya yang turut menawarkan hadiah menarik dan lumayan.