Berita

Rungutan Rakyat Didengar, Kerajaan Utamakan Kesejahteraan

PUTRAJAYA – Keselesaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan lantas Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah melakukan tinjauan di sekitar kawasan terbabit berhubung aduan orang ramai terhadap pengangkutan awam bas Nadiputra.

Keprihatinan beliau sebagai wakil rakyat direalitikan dengan turun sendiri dan merasai pengalaman bersama-sama orang awam yang menunggu bas di perhentian yang disediakan pada 13 Jan 2012 (Ahad). Ia dibuat bagi mencari punca permasalahan yang wujud agar dapat mengurai kekusutan yang dirasai masyarakat.

“Hasil tinjauan yang saya lakukan sememangnya orang ramai merungut lantaran bas Nadiputra yang mendai pengangkutan awam utama di sini tidak dapat menepati jadual yang ditetapkan. Ini telah menimbulkan permasalahan kepada orang ramai khususnya kepada mereka yang menggunakan pengangkutan ini sebagai alternative utama untuk ke tempat kerja,” katanya.

Dalam usaha menyelami kegelisahan rakyat, beliau yang juga ketua UMNO bahagian Putrajaya turut bertemu dan bertanya terus kepada orang ramai yang bersama-sama beliau di perhentian bas.

“Kelewatan bas terbabit menepati masa yang adakalanya sehingga menjangkau satu jam daripada had yang ditetapkan telah menyebabkan masyarakat turut berdepan masalah lain seperti kelewatan ke tempat kerja dan bagi kanak-kanak yang bersekolah juga turut mengganggu tahap disiplin mereka.

“Keadaan ini semakin parah apabila dihujung minggu atau pada hari kelepasan am ekoran jumlah bas Nadiputra yang ada amat terhad.”

Dalam masa yangh sama, Datuk Seri Utama Tengku Adnan turut bertanya terus kepada pemandu bas bagi mengetahui permasalahn yang berlaku.

“Kita bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya kita mahukan jalan terbaik agar semua pihak mendapat manfaat dan dapat menikmati kesejahteraan dalam kehidupan tanpa ada sebarang kerumitan dan kegelisahan,” katanya.

Hasilnya, punca kelewatan yang berlaku dapat dikenalpasti iaitu berlaku ekoran tidak cukup pemandu yang membabitkan bas Nadiputra dan pada hujung minggu ia menjadi semakin parah lantaran ada pula dikalangan mereka yang bercuti.

“Kita telah dapat mengenalpasti masalah yang timbul dan saya akan berhubung terus kepada Perbadanan Putrajaya agar segera menangani masalah tersebut agar masyarakat dan pengunjung di kawasan terbabit dapat menikmatinya tanpa rasa gelisah.”

Tegasnya, rata-rata masyarakat amat selesai dengan kemudahan yang disediakan khususnya suasanan dan kemudahan di dalam bas namun dengan peningkatan perkhidmatan yang akan dilakukan maka tentunya ia akan menyemai kepada masyarakat yang harmoni.

“Kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional sentiasa mengutamakan rakyat dan memastikan kehidupan mereka terbela dalam pelbagai aspek malah kerajaan sentiasa mengalu-alukan teguran dan cadangan agar setiap kekurangan dapat diperbaiki.”