Berita

Muafakat Bersama Syukuri Kesejahteraan Bandar

PUTRAJAYA – Warga tempatan perlu memahami aspek kesejahteraan bandar sebagaimana kesungguhan kerajaan mewujudkan Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar dengan mengutamakan kelestarian dan permodenan sealiran dengan mentaliti masyarakat moden.

Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Hari Wilayah Persekutuan Peringkat Putrajaya 2013 yang diadakan di Dataran 1Malaysia, Presint 2, pada 5 Februari hari ini.

“Bagi mencapai kehidupan yang lebih baik kita perlu mensyukuri dan menghargai apa yang kita miliki dengan sentiasa berusaha untuk menambah baik kehidupan kita serta bersama-sama memelihara keharmonian ini demi kesinambungan pada masa hadapan,” katanya.

Selepas majlis pelancaran tersebut, beliau bersama-sama warga Putrajaya berjalan kaki dari Dataran Putra ke tapak pasar tani di Presint 2 serta beramah mesra dengan masyarakat setempat. Di samping itu beliau turut mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan kepada penduduk setempat untuk dikibarkan sebagai meraikan sambutan hari Wilayah Persekutuan.

Turut bersama-sama dalam program tersebut ialah Presiden Perdanan Putrajaya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.