Rungutan Rakyat Jadi Keutamaan Untuk Diselesai
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor merealitikan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam memanifestasikan Gagasan Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dengan menjadikan keselesaan masyarakat setempat sebagai agenda utama.
Katanya, sebagai wakil rakyat beliau sentiasa memastikan masyarakat setempat mendapat keselesaan dalam pelbagai aspek apatah lagi Putrajaya adalah Bandar moden contoh yang menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk para pelancong.
“Setiap aduan yang dihantar, rungutan yang dibuat dan teguran yang diberikan sentiasa diambil perhatian malah kita menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya agar semua permasalahan yang dihadapi akan ditangani dengan segera,” katanya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Kibar Bendera dan Pelancaran Hari Wilayah Persekutuan Peringkat Putrajaya 2013 di Laman 1Malaysia, Putrajaya pada 5 Februari 2012.
Jelasnya, sebagai wakil kepada kerajaan Barisan Nasional, beliau akan memastikan masyarakat tempatan dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa sebarang masalah.
“Saya juga memohon kepada pihak Perbadanan yang bertanggungjawab terhadap pelbagai fasiliti di sini akan segera memperbaiki pelbagai kemudahan awam sekiranya terdapat kerosakan,” tambahnya lagi.