Berita

Khidmat Bakti Veteran Tentera Dihargai

PUTRAJAYA – Jasa dan khidmat bakti angkatan tentera sentiasa dihargai biarpun mereka sudah tamat perkhidmatan tetapi perjuangan yang dikorbankan mereka dalam menjada keselamatan negara tidak pernah dilupakan, kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, kesungguhan anggota tentera dan pasukan keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab telah memberi sumbangan besar bukan saja pada negara tetapi pada rakyat keseluruhannya yang dapat hidup rukun tenteram dan sentiasa berasa selamat.

“Kita amat menghargai jasa anggota tentera dan tidak pernah melupakan khidmat mereka biarpun telah bersara dan tidak terlibat lagi dalam pasukan pertahanan. Titik peluh anggota tentera ini telah memastikan kestabilan dalam negara dan terhindar dari ancaman musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian baucer sumbangan kepada 250 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjumlah RM1,000.

“Kita sedar bahawa nilai wang amat kecil jika dibandingkan dengan perjuangan yang telah dilakukan oleh anggota veteran ATM, tetapi kita amat berharap anggota veteran ATM akan terus menyemai bakti dan memberikan sokongan kepada kerajaan sebagaimana mereka berkhidmat untuk negara sebelum ini.

“Kita realitikan ikrar janji sebagai rakyat Malaysia, kita hargai keamanan dan kesejahteraan dan bersama-sama menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib yang telah membawa negara ini ke era transformasi di dalam dan di luar negara,” katanya.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Pusat Kejiranan Presint 9, Putrajaya.