‘We Love Putrajaya’ Eratkan Permuafakatan Rakyat
PUTRAJAYA – Seawal pukul 7.00 pagi, Stadium Pancarona, di Presint 18 dibanjiri para penduduk tempatan yang berkumpul untuk bersama-sama memeriahkan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya 2013 atas semangat muafakat dan kerjasama yang tinggi dalam menjayakannya.
Hari keluarga yang bertemakan ‘We Love Putrajaya’ disulami dengan pelbagai sukaneka melibatkan acara berkumpulan dan keluarga serta anggota masyarakat dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang antaranya, menganyam ketupat, terompah gergasi, lambung-lambung sayang, siapa panjang selain pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak dari usia lima hingga dua belas tahun.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor yang hadir bersama isteri, Datin Seri Anggeriani Sentiyaki dan ahli keluarga beliau.
Dalam masa yang sama, pelbagai pameran turut diadakan selain persembahan dari JPAM yang melakukan pelbagai gimik sebagai tarikan dalam Hari Keluarga tersebut. Di samping itu, cabutan nombor bertuah turut diadakan dengan lebih 500 hadiah pelbagai barangan elektrik, hamper dan motosikal disediakan.