Berita

Manifesto BN Wilayah Persekutuan Garis Empat Teras Bertema ‘Janji Dikota’

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan bertema ‘Janji Dikota’ dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan malam ini, yang menggariskan empat teras menyasar segmen luas dan berbeza dari segi pendapatan, keperluan dan kehendak warga kota.

Manifesto itu akan memastikan tiada keperluan warga kota yang tertinggal dalam arus mengejar pembangunan menuju Wawasan 2020.

Teras pertama ialah Kesejahteraan Warga Kota dan Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar akan dilancar sebagai permulaan di Putrajaya dan seterusnya dilaksana di seluruh Kuala Lumpur.

Teras kedua ialah Objektif Pembangunan Yang Mampan, termasuk merancang dan menerajui Pembangunan Kampung Baru menjadi kawasan warisan yang moden serta berdaya maju selaras dengan kehendak pemilik dan pewaris.

Tiada Warga Kota Yang Tertinggal merupakan teras ketiga manifesto BN melalui keutamaan rumah kos rendah kepada pesara askar atau polis, meneruskan dan meluaskan program sumbangan tunai kepada warga emas serta menambah pemberian dana kepada persatuan belia di Wilayah Persekutuan.

Teras terakhir ialah Anjakan Ekonomi Warga Kota dengan menjana 600,000 pekerjaan oleh inisiatif Greater KL dan menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 peluang penjaja tetap dan 10,000 peluang penjaja sementara.

Berikut ialah kandungan penuh Manifesto BN Wilayah Persekutuan.

Kesejahteraan Warga Kota:

* Menjadikan Wilayah Persekutuan antara 20 bandar raya utama dunia yang paling sesuai dihuni menjelang 2020.

* Meningkatkan khidmat kutipan dan pemprosesan sisa pepejal.

* Lebih 35,000 pokok setahun ditanam untuk Penghijauan Bandaraya sejak tahun 2010 dan angka ini akan ditambah dalam tempoh lima tahun akan datang.

* Sebanyak RM7 juta dana permulaan bagi Skim Keselamatan 1Wilayah Persekutuan bagi membantu penduduk warga kota memerangi jenayah.

* Memastikan parkir khas untuk wanita diperbanyak di sekitar ibu kota, tujuh peratus dari jumlah parkir di semua bangunan komersil di ibu kota.

* Meneruskan usaha mengurangkan kadar denggi dan 59.7 peratus Berjaya dikurang pada 2011.

* Melancarkan Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar sebagai permulaan di Putrajaya, dan seterusnya akan dilaksana di seluruh Kuala Lumpur.

* Menyeragam kadar parkir bagi mengelak bayaran terlalu mahal untuk warga kota.

* Menambah klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Perpustakaan 1Malaysia di sekitar Wilayah Persekutuan.

Objektif Pembangunan Yang Mampan:

* Meningkatkan peratusan pengguna pengangkutan awam menjelang 2015 dengan pembinaan MRT di Lembah Kelang dan penambahbaikan mod pengangkutan awam termasuk bas, LRT dan perkhidmatan teksi.

* Pembaikan dan penyenggaraan jalan raya yang bermasalah di sekitar Kuala Lumpur 12km setiap tahun. Sejak tahun 2010, pembinaan pejalan kaki berbumbung yang moden dan selesa dan pembinaan lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung dalam tempoh lima tahun akan datang.

* Menyediakan lebih 30,000 rumah mampu milik di samping memastikan pembinaan lebih banyak rumah kos rendah di sekitar Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima tahun.

* Sehingga Disember 2012, lebih 5,000 Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) disediakan bagi menggalakkan pemilikan rumah di kalangan kumpulan gaji pertengahan. Pada 10 Mac 2013, PM mengumumkan sasaran 50,000 unit rumah di bawah PR1MA sekitar Lembah Klang.

* Pembersihan dan pengindahan Sungai Klang dan Sungai Gombak di bawah Projek Sungai Nadi Kehidupan.

* Merancang dan menerajui Pembangunan Kampung Baru menjadi kawasan warisan yang moden dan berdaya maju selaras dengan kehendak pemilik dan pewaris.

Tiada Warga Kota Yang Tertinggal:

* Setelah berjaya menunaikan janji untuk menawarkan penjualan rumah PPR dan PA DBKL, kerajaan BN membantu pembeli mendapat pinjaman perumahan.

* Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia akan membantu lebih ramai penghuni rumah kos rendah dan kos sederhana menyenggara kediaman mereka.

* Lima tahun peruntukan disediakan untuk penyenggaraan Rumah Sewa PPR dan PA DBKL.

* Memastikan penyenggaraan lif PPR dan PA DBKL diberi keutamaan.

* Penambahan pelaksanaan 22 Terminal Sejahtera yang memberi kemudahan pembelajaran kendiri untuk pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

* Menerus dan memperluas program sumbangan tunai kepada warga emas selain menambah jumlah Kelab Warga Emas (Pusat Asuhan Warga Emas).

* Membina lebih banyak gelanggang futsal di sekitar Kuala Lumpur.

* Menambah pemberian dana kepada persatuan belia di Wilayah Persekutuan.

* Keutamaan rumah kos rendah dan kemudahan asas lain kepada OKU dan ibu tunggal.

* Keutamaan rumah kos rendah untuk pesara askar atau polis.

* Melaksana lebih banyak parkir motosikal berbumbung di kawasan strategic sekitar Kuala Lumpur untuk keselesaan warga kota, terutama golongan muda.

*Memperkasa golongan muda dan belia dengan pelaksanaan Majlis Perwakilan Belia Bandar.

Anjakan Ekonomi Warga Kota:

*Hampir 600,000 pekerjaan yang akan dijana oleh Greater KL/ Klang Valley menjelang 2020.

*Mempertingkat pencapaian Invest KL dengan menyasar 100 syarikat gergasi antarabangsa di Kuala Lumpur menjelang 2020 sekali gus mempertingkat peluang pekerjaan dan ekonomi negara. Sehingga kini, 19 syarikat mula beroperasi di Kuala Lumpur.

* Menyediakan sekurang-kurangnya 2,000 peluang untuk penjaja tetap dan sekurang-kurangnya 10,000 peluang bagi penjaja sementara.

* Melancarkan dasar dan menubuhkan Majlis Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan.

*Memperbanyak Skim Pinjaman Mikro Kredit kepada usahawan tulen melalui Yayasan Wilayah Persekutuan.

*Melaksana skim insurans untuk pemandu teksi Wilayah Persekutuan.