Berita

BN Bangunkan Putrajaya Untuk Rakyat, Dulu Pas Bantah Sekarang Berkejar Nak Tampuk Kepimpinan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor selaku calon Parlimen P.125 Putrajaya membidas pakatan pembangkang khususnya Pas yang beria-ia mahu menakluk kawasan terbabit sedangkan suatu ketika dulu apabila kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) membentangkan perancangannya maka merekalah yang membantah dengan melabelkan pelbagai tuduhan kepada BN dan kepimpinannya.

“Bayangkan, ketika Putrajaya tiada apa-apa mereka memandang rendah dan menuduh BN dengan pelbagai kata-kata tetapi hari ini mereka pula yang mahu ke sini apabila kawasan ini sudah maju, indah dan terkenal di serata antarabangsa,” katanya.

Ujar beliau, sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan tahu bersyukur sewajarnya, Putrajaya dikekalkan di bawah pentadbiran BN agar pelbagai perancangan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dapat dilakukan dengan lancar.

“Hari ini kita melihat bagaimana orang luar yang menuduh macam-macam pada BN, datang ke tempat kita dan mencanangkan mahu mengubah Putrajaya sebagai bandaraya Islam walhal orang luar ini tidak tahu sejarah pembangunan Putrajaya yang mana mula-mula dibina ialah Masjid Putra sebagaimana Nabi Muhammad SAW ketika mula-mula membuka Madinah dengan Masjid Nabawinya.

“Orang luar ini kata mahu mengembangkang syiar Islam sedangkan dengan kepimpinan BN di sini, sekolah agama peringkat rendah dan menengah dibina untuk pendidikan anak-anak, malah sekolah agama berasrama penuh juga diwujudkan selaras dengan pembangunan Islam yang sentiasa diperkukuh,” tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya adalah penyandang kerusi Parlimen kawasan terbabit turut menekankan bahawa permuafakatan yang diterapkan dalam masyarakat di kawasan terbabit amat tinggi dan saling memahami antara satu sama lain.

“Pelbagai program yang diadakan di sini dibuat secara bergotong-royong misalnya program kenduri rakyat, korban perdana setiap tahun, majlis berkhatan beramai-ramai malah pada bulan puasa penduduk tempatan bersama-sama menyediakan juadah bagi sebagaimana Maidatul Rahman iaitu majlis berbuka puasa beramai-ramai,” katanya yang ditemui selepas majlis makan tengahari bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan anak-anak Kelantan yang diadakan di Dewan Perdana A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.