Berita

Ahli Parlimen Putrajaya Menteri Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Anggota parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 63, kembali menganggotai kabinet baharu dengan memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) merupakan menteri pelancongan pada 2006 hingga pilihan raya umum 2008. Beliau pernah dilantik timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Janauri 2001 dan pada November 2002, dilantik menteri di Jabatan Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum 2004.

Tengku Adnan yang mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan termasuk menjadi pengarah kepada beberapa syarikat terkemuka, merupakan anak kelahiran Melaka dan memiliki ijazah sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dari University of Southern California, Amerika Syarikat.

Beliau mempunyai sembilan orang anak hasil perkongsian hidup dengan isteri Datin Seri Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini – empat lelaki dan lima perempuan.

Beliau melibatkan diri dalam bidang politik ketika berusia 19 tahun dengan menyertai Umno dan jawatan awalnya, dilantik Ketua Pemuda Umno Bahagian Setapak.

Tengku Adnan juga pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam Umno termasuk bendahari Pergerakan Pemuda Umno pada 1988 dan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 1993.