Berita

Masalah Penduduk Dapat Perhatian Serius

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya akan menumpukan perhatian kepada masalah warga kota yang dihadapai oleh masyarakat tempatan saban hari.

Antara yang akan diberi perhatian serius ialah kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan perumahan untuk golongan muda berpendapatan rendah dalam sektor perkhidmatan terutamanya rakyat yang tinggal di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan

Sehubungan itu mereka dialu-alukan mengemukakan sebarang masalah kepada pihak kementerian supaya jalan penyelesaian boleh diambil.

Menurutnya, kajian mengenai kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu puncak di Kuala Lumpur akan terus diberi perhatian demi keselesaan rakyat yang sangat tertekan dengan masalah tersebut.

“Saya juga akan berbincang bagi mencari kaedah bagaimana perumahan awam yang disewakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau kementerian dapat disewakan kepada anak muda yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti hotel dan restoran kerana gaji mereka rendah dan tidak mampu membayar sewa rumah di Kuala Lumpur,” katanya.

Tengku Adnan juga akan mengambil inisiatif berjumpa dengan semua persatuan penduduk di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam tempoh empat bulan pertama ini bagi mendapatkan maklumat mengenai kehendak rakyat di kawasan-kawasan terlibat.

“Kami nak tanya apa yang mereka mahu dan apa yang kami boleh buat untuk keselesaan semua,” katanya.