Berita

Lagi 5,000 Unit Rumah Mampu Milik Untuk Warga Tempatan

PUTRAJAYA – Sebanyak 5,000 unit rumah tambahan akan dibangunkan di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dalam tempoh dua tahun selaras dengan permohonan kakitangan awam yang semakin meningkat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sehingga kini Perbadanan Putrajaya (PPj) menerima sebanyak 13,450 permohonan berbanding 10,366 unit rumah yang dibenarkan untuk dibina di sini.

“Kita akan buka semula permohonan PPA1M selepas mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan untuk membangunkan 5,000 unit yang baru itu.

“Kami yakin ada lagi yang mahu memohon kerana mungkin sebelum ini mereka tidak mengetahui tentang projek tersebut atau terlambat menghantar borang atas sebab tertentu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan PPj di sini hari ini.

Pada 18 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan majlis pecah tanah dan melancarkan PPA1M untuk fasa pertama membabitkan pembinaan sebanyak 1,256 unit rumah di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11 di sini.

Rumah yang dijual antara RM150,000 dan RM300,000 serta berkeluasan 1,000 hingga 1,500 kaki persegi itu akan dibina dalam beberapa fasa.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, buat masa ini, 13,450 permohonan PPA1M dalam proses saringan dan keputusannya dijangka diketahui tidak lama lagi.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang memenuhi tiga kriteria utama iaitu bekerja dengan sektor kerajaan dan badan berkanun persekutuan, pendapatan isi rumah kurang daripada RM8,000 sebulan dan bekerja di Putrajaya atau Cyberjaya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencadangkan agar projek perumahan mampu milik yang kini dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya Holding (PjH) diserahkan kepada PPj.

“Cadangan itu perlu memandangkan sehingga kini PjH hanya mampu membina 2,500 daripada 8,500 unit yang diarahkan oleh kerajaan.

“Kalau PjH tidak mahu membina baki 6,000 unit lagi itu, kami akan sarankan PPj untuk ambil alih,” katanya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130522/wk_04/Lagi-5,000-unit-rumah-mampu-milik-akan-dibina#ixzz2Tz3dla5N
© Utusan Melayu (M) Bhd