Aktiviti & KomunitiBerita

Jom Bersama Meriahkan Floria Putrajaya 2013

PUTRAJAYA – Warga tempatan dan para penduduk di sekitar Ibu Kota dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya 2013) bermula 22 hingga 30 Jun ini dengan pelbagai pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan pelbagai spesies termasuk 5,000 pokok bunga Orkid bakal menghiasi Persiaran Tasik, Presint 2 di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata festival bertema ‘Bunga Orkid – Khazanah Tropika’ itu akan mempamerkan lebih 200 spesies, kultivar dan hibrid orkid dalam bentuk taman dan gubahan.

“Floria Putrajaya kali ke-6 ini bakal mewarnakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini sebagai ‘intelligent garden city’ dengan kepelbagaian flora yang berwarna-warni dan menonjolkan identiti Putrajaya sebagai sebuah Bandar Dalam Taman dan Bandar Bunga-bungaan,” katanya.

Floria Putrajaya merupakan pameran bunga dan taman berbentuk festival yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan disokong Kementerian Wilayah Persekutuan.

Festival ini mempamerkan produk komersil industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi oleh pereka taman dan pertunjukan bunga-bungaan dari dalam dan luar negara dan akan menampilkan beberapa konsep dan elemen baru yang lebih kreatif dan inovatif seperti ‘longest landscape vertical wall’, perarakan bot berhias, ‘Magic of The Night’, Taman Diraja, Taman Inovasi, dan Taman Jamuan Teh.

Floria Putrajaya 2013 akan menampilkan 23 peserta dari 18 negara iaitu Afrika Selatan, Australia, Chile, China, Filipina, Hong Kong, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Korea, Myanmar, New Zealand, Singapura, Taiwan, Thailand, United Kingdom dan Vietnam serta tuan rumah Malaysia.