Berita

Floria Putrajaya 2013 Terapkan Semangat 1Malaysia

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapannya berkata, Floria Putrajaya 2013 adalah satu-satunya festival di Malaysia yang bertepatan dan sinonim dengan semangat 1Malaysia.

Beliau berkata, festival sedemikian menyediakan pakej pameran bunga serta pelbagai acara dan aktiviti yang sesuai disertai oleh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

”Festival itu membolehkan rakyat Malaysia pelbagai kaum, budaya, kepercayaan dan peringkat umur untuk turut serta dalam lebih 200 program dan aktiviti yang disediakan,” katanya.

Selain itu, Tengku Adnan turut mengharapkan Floria Putrajaya yang diadakan setiap tahun itu dapat menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga, landskap dan pelancongan.

”Secara tidak langsung festival itu menjadi faktor penggalak pertumbuhan dan membantu dalam mempercepatkan transformasi industri bunga, landskap dan agro-pelancongan negara,” katanya.

Floria Putrajaya 2013 dengan slogan Orkid-Khazanah Tropika dijangka menarik lebih sejuta pengunjung sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu sekitar 800,000 pengunjung.

Para pengunjung pasti terpukau dengan kreativiti dan keunikan hiasan seni reka taman yang mengandungi lebih 400,000 bunga terdiri daripada pelbagai spesies.