Berita

Syukuri Nikmat Ramadan, Jadikan Pergolakan Di Mesir Sebagai Iktibar

PUTRAJAYA – Rakyat perlu jadikan insiden rampasan kuasa dan penahanan Presiden Mesir, Mohammed Mursi sebagai iktibar dalam memelihara kesejahteraan dan keamanan di negara ini, kata Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, kedatangan bulan Ramadan ini juga perlu diambil sebagai peluang untuk menginsafkan diri dan mensyukuri nikmat kesejahteraan yang dikecapi selama ini.
“Malaysia sebuah negara yang aman. Alhamdulillah kerana kita dapat melaksanakan ibadah puasa dengan selesa sedangkan negara lain termasuk Mesir bergolak lantaran keputusan demokrasi tidak diterima dan dihormati oleh semua pihak.”

Ujarnya, sebagai rakyat yang bertamadun dan memahami prinsip serta asas perundangan maka tentunya sedar bahawa sebarang tindakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan.

“Apa sahaja yang dipertikaikan oleh pembangkang termasuklah keputusan pilihan raya dengan berhimpun dijalanan dan mengheret rakyat ke kancah demonstrasi akan membawa kehancuran dan kemusnahan kepada keamanan negara kita.

“Kita lihat bagaimana demonstrasi dan rusuhan jalanan berpanjangan yang berlaku di Mesir bukan sahaja meragut nyawa tetapi membawa rusuhan serta pertembungan ganas antara penyokong dan penentang kerajaan.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa memelihara dan menyemai rasa cinta dan kasih kepada negara, hidup bersatu padu dan rukun sentiasa dengan tidak memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk jadi petualang kepada kita,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat terawih bersama warga Putrajaya di Dewan Serbaguna Blok 4F, Presint 9, malam tadi.