Berita

Maidatul Rahman Akrabkan Silaturrahim & Semai Keinsafan

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, rakyat di negara ini perlu sentiasa mensyukuri nikmat yang diterima bukan hanya berkat dari kesejahteraan tetapi juga limpahan rahmat khususnya juadah juadah harian yang pelbagai dalam bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, kita dapat menjalani ibadah puasa dan sepenuh kesyukuran dipanjatkan kerana kita dapat menunaikan rukun Islam ini tanpa sebarang keuzuran selain pengisian-pengisian penting dalam bulan barakah ini,” katanya.

Jelasnya, sepanjang Ramadan ini, bahagian Putrajaya meneruskan acara tradisi dengan program berbuka puasa Maidatul Al-Rahman anjuran UMNO Bahagian ini di Medan Selera Presint 8 berkonsepkan penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma untuk penduduk.

“Dengan program ini, banyak perkara yang boleh dipelajari selain daripada kerjasama jitu anggota Bahagian, kesyukuran dan keinsafan atas rahmat-Nya kepada kita amat dirasai.

“Dalam pada tangan saya menyuap makanan, sebenarnya masih ada saudara-saudara sesama Islam kita di negara-negara bergolak yang pastinya ketakutan menyelubungi selain keperluan makanan yang sangat terhad. Begitu juga dengan negara-negara yang kekurangan sumber sebagaimana diberitakan di negara-negara mundur yang saban hari pasti ada saja kematian ekoran kebuluran.”

Tambahnya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung UMNO merangkap, kita perlu sentiasa berusaha agar kesejahteraan dan keamanan yang kita ada akan terus berkekalan untuk masa depan anak cucu dan generasi akan datang.

“Apabila kita berbuka puasa bersama-sama, saya dapat melihat bagaimana aman, sejahtera dan bahagianya kita apabila dapat mengecap nikmat kurniaan Allah dalam satu ruang tanpa sebarang kemelaratan. Kita dapat melakukan ibadah puasa dan kemudiannya berbuka dan berterawih bersama-sama tanpa ada rasa gelisah atau curiga akan ketenteraman yang ada.”

Program Maidatul Rahman yang dimulakan sejak hari pertama Ramadan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari pengunjung dan warga Putrajaya yang secara tidak langsung bertujuan menolong fakir-fakir miskin dan juga golongan bekerja di sekitar kawasan terbabit.

“Program ini penting untuk mengeratkan hubungan silaturrahim warga Putrajaya selain amalan gotong-royong dalam penyediaan juadah serta dapat menyemarakkan amalan bersedekah,” ujarnya lagi.