Ucapan

Syukuri Nikmat Ramadan, Selami Nuzul Al-Quran

Assalamualakum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam 1Malaysia
Ramadan Al-Mubarak berlangsung dengan penuh kesejahteraan lantas sewajarnya kita panjatnya kerana dapat menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan dalam suasana aman harmoni biarpun negara ini turut dihuni oleh masyarakat majmuk berbilang agama.

Sebagai rakyat di negara ini, kita juga perlu bersyukur kerana Malaysia terus mengecapi keamanan dan sewajarnya perlu terus dikalkan keharmoniannya dengan meningkatkan perpaduan sedia ada.

Namun dalam kegembiraan dan ketakwaan kita menjalani ibadah ini, kita tidak seharusnya melupakan cabaran, masalah dan musibah besar termasuk ancaman keselamatan dan perpaduan yang dihadapi beberapa negara Islam ketika ini malah kita jadikanlah ia sebagai iktibar dan tauladan atas segala yang berlaku di sekeliling kita.
Tidak terkecuali kepada masyarakat yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam apa jua aspek maka kita perlu bersama-sama mereka agar dapat berkongsi kegembiraan menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

Dengan Ramadan kali ini, sewajarnya juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk merebut peluang bagi mempertingkatkan amal ibadat dan diri sebagai umat Islam secara konsisten dan berdisiplin. Apatah lagi kehadiran bulan Ramadan juga tersingkap pelbagai hikmah dan sejarah termasuklah terjadinya peristiwa Nuzul al-Quran pada 17 Ramadan, Lailatul Qadar dan sebagainya.

Semaikanlah sentiasa rasa cinta dan kasih kepada negara, hidup bersatu padu dan rukun sentiasa dan bersama-sama berbuka puasa, menunaikan solat terawih dan meningkatkan ibadah kita kepada-Nya.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen / Ketua UMNO Bahagian Putrajaya