Kejayaan Pemilihan UMNO Bukti Tranformasi Dilaksana, Demokrasi Diperkukuh
KUALA LUMPUR – Pemilihan UMNO telah berlangsung lancar sebagaimana perancangannya yang dibuat berdasarkan kepada Perlembagaan baru parti yang dipinda pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua anggota parti termasuklah jentera yang bertungkus-lumus memastikan setiap perancangan berlangsung lancar dan ahli-ahli UMNO di akar umbi.
“Inilah bukti bahawa UMNO tidak pernah menolak demokrasi malah mengaplikasikannya dari peringkat atas hinggalah kepada anggota parti di akar umbi,” katanya.
Jelas beliau, sikap toleransi, kerjasama, permuafakatan dan saling menghormati yang ada dalam parti telah diterapkan melalui kelancaran pemilihan UMNO dan nilai tersebut perlu terus dimanfaat.
“Dalam menyelami perjuangan parti maka keharmonian dan jalinan yang rapuh tidak akan membawa kepada perpaduan yang teguh kerana hanya muafakat yang ikhlas akan membawa berkat.”
Dalam hal ini beliau turut mengajak ahli-ahli parti dan masyarakat umum khususnya untuk membuat penilaian terhadap UMNO dan parti-parti politik yang lain.
“Kemelut yang berlaku dalam parti pembangkang menjadi cermin kepada kita dan rakyat dalam melakukan penilaian dengan melihat bagaimana parti yang kononnya telus dan memperjuangkan demokrasi tetapi gagal mengadaptasikannya.
“Perkara tersebut diketepikan dalam UMNO apabila transformasi dilakukan dengan pemilihan parti akan melibatkan lebih ramai ahli dalam proses untuk menentukan pemimpin disemua peringkat termasuklah pimpinan pusat.”
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berharap agar ikatan dalam UMNO akan bertambah kukuh dengan adanya barisan kepimpinan yang menggabungkan wajah baharu dan lama.
“Kemenangan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksana dengan ikhlas dan jujur tanpa demi kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Pada pemilihan UMNO Sabtu lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengekalkan gandingan sebagai naib presiden UMNO untuk penggal 2013-2016 di samping 10 muka baharu dengan dua wanita mengisi jawatan 25 yang dipilih menganggotai MT. – MediaUMNO