Berita

Salam Maal Hijrah, Sematkan Tekad Untuk Kesejahteraan dan Kemajuan Berterusan

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak masyarakat untuk melahirkan kesyukuran dan memperkukuh tekad bagi menyemai perpaduan demi kesejahteraan bersempena dengan Maal Hijrah.

Katanya, sebagai umat Islam, kita sewajarnya mensyukuri setiap nikmat yang dilimpahkan kepada kita dan berusaha untuk terus mengekalkan kurniaan Ilahi yang diberikan kepada rakyat di Malaysia ini.

“Marilah kita sama-sama menyelami Maal Hijrah dengan menghayati penghijrahan Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mahu agama Islam didaulatkan dengan merapatkan persaudaraan sesama kita, berkongsi nikmat kesejahteraan dan bersama-sama memperkukuh silaturrahim.”

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya juga menyeru warga tempatan untuk mengaplikasikan kesungguhan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

“Ini adalah bersesuaian dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Wasatiyyah Tonggak Perpaduan Ummah’ iaitu konsep kesederhanaan telah membawa negara kita cemerlang dalam perlabagai arena termasuklah dipersada antarabangsa,” katanya.