Berita

Kuasa Besar Antarabangsa Ucap Tahniah Atas Kejayaan UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pemerintah kuasa besar dunia, Parti Komunis China (CPC) menyampaikan ucapan tahniah atas Perhimpunan Agung UMNO 2013 dan kecemerlangan UMNO melaksanakan Forum Antarabangsa yang berjaya mengumpulakan peserta dari pelbagai lapisan dengan cerita berbeza untuk dikongsi bersama.

Kawat tahniah tersebut telah disampaikan melalui kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor oleh delegasi CPC yang diketuai oleh Sun Qingyun selaku Timbalan Setiausaha CPC di Jawatankuasa Wilayah Shanxi dengan harapan agar UMNO terus teguh sebagai sebuah parti politik bagi menerajui kesejahteraan negara.

“Sejak dari awal lagi, UMNO tidak pernah jemu dan terus berusaha memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di Malaysia,” katanya.

Ujarnya, CPC mengagumi perjuangan UMNO dan amat berbangga dengan adanya hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua parti apatah lagi usia hubungan akrab tersebut akan mencapai 40 tahun pada tahun 2014.

“Kami mengharapkan agar hubungan diplomatik yang terjalin selama 40 tahun ini akan dapat diraikan bersama dengan kerana kerjasama yang terjalin tersebut telah melibatkan banyak perkongsian dalam pelbagai lapangan.

“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari struktur perkembangan UMNO yang telah berjaya membawa negara ini dikagumi dipersada antarabangsa biarpun hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum,” katanya.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan turut berbesar hati dengan cadangan yang diberi dan berharap agar sambutan meraikan ulang tahun ke-40 hubungan CPC dan UMNO akan dapat mempromosikan perpaduan, kebudayaan dan keharmonian antara dua negara.

Hubungan akrab antara UMNO dan CPC bermula dengan kunjungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke China bertemu dengan Mao Tse Dong pada tahun 1974 dan hubungan tersebut berlanjutan sehingga kini dengan diperbaharui dalam perjanjian persefahaman pada tahun 2010.

Sejak itu delegasi antara kedua-dua parti saling berkunjung sambil bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman dalam soal politik pembangunan untuk diaplikasikan di negara masing-masing.

Menerusi memorandum itu juga UMNO dan CPC bersetuju mengembangkan hubungan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, hak kesamaan mutlak, saling menghormati dan bersetuju untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman masing-masing.

Sebelum itu, Tengku Adnan turut menerima kunjungan dari Singapura melalui Menteri Luarnya, Masagos Zulkifli; Setiausaha Agung Nur Otan Party, Kazakhstan, Eldar Syzdykov; Ahli Parlimen dari Parti Kebebasan dan Keadilan di Mesir, AbdulMawgoud R. Dardery dan juga Ketua Biro Parti Pergerakan Ennahda, Tunisia, Rashed Alganoshi. – MediaUMNO

su-umno-tengku-adnan-parti-ennahda-tunisia-rashed-alganoshi-perhimpunan-2013-pwtc

su-umno-tengku-adnan-parti-keadilan-kebebasan-mesir-egypt-abdul-mawgoud-r-dardery-perhimpunan-2013-pwtc