Berita

Meriahkan Majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul

PUTRAJAYA – Warga tempatan diseru untuk bersama-sama memeriahkan majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul yang akan diadakan di Dataran Masjid Putra di sini Jumaat ini, 21 Mac 2014.

Program anjuran Sekretariat Selawat Perdana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu akan bermula pukul 7 malam hingga 11 malam dengan pengisian pelbagai program berbentuk keagamaan yang bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan

Majlis ini juga akan menampilkan ikon agama dan pendakwah terkenal seperti Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf serta Habib Ali Zaenal Abidin dari Indonesia selain turut diserikan dengan pelbagai aturcara seperti solat Maghrib dan Isyak berjemaah, zikir terapi, bacaan al-Quran daripada finalis rancangan Imam Muda, tazkirah duet peserta Pencetus Ummah serta majlis ilmu bersama pendakwah terkenal.

Sementara itu, bagi memudahkan perjalanan lalu lintas pihak urus setia akan menyediakan lapan buah bas dengan kekerapan lapan minit sekali di beberapa lokasi termasuk di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Serdang dan juga tempat letak kenderaan di Putrajaya.

Dalam pada itu katanya, Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul akan ditayangkan secara langsung di tiga saluran televisyen tempatan iaitu TV1, Astro Oasis dan TV AlHijrah.