Berita

Takziah Kepada Ahli Keluarga Penumpang Dan Kru MH370

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 yang disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi. Sesungguhnya, kehilangan pesawat ini adalah satu tragedi yang amat dirasai bukan hanya ahli keluarga terlibat tetapi seluruh rakyat Malaysia juga.

Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pengumuman itu dibuat berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.