Berita

Begonia, Bunga Tema Floria Putrajaya 2014

PUTRAJAYA – Bunga Begonia atau asam batu dipilih sebagai bunga tema pada Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2014 yang akan berlangsung mulai 14 hingga 22 Jun ini di tapak baharu yang kekal di Pesisiran Tasik, Presint 4.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Floria Putrajaya dijangka menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar negara berikutan terdapat lebih 400,000 spesies bunga dan tumbuhan serta tapak pameran yang lebih luas.

“Kali ini tiga pertandingan berprestij diperkenalkan iaitu Floria Putrajaya Pavilion Challenge Cup untuk penggubah bunga profesional, pertandingan pokok bunga orkid dan Floria Putrajaya Garden Challenge Cup.

“Ia sebagai usaha meletakkan Floria Putrajaya sebagai satu daripada destinasi di peta bunga-bungaan dunia setanding dengan pertunjukan bunga-bungaan di peringkat antarabangsa,” katanya semasa pra pelancaran Floria 2014 di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Floria Putrajaya 2014 anjuran PPj kini memasuki tahun ketujuh penganjuran dengan tema Pesona Warna.

Sebanyak 37 peserta antarabangsa dari 22 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Brunei, China, Denmark, Jerman, Amerika Syarikat dan Filipina.

Beliau berkata Floria Putrajaya 2014 menyediakan 58 ruang kepada pengusaha landskap, pembekal bunga dan mereka yang terlibat dalam industri ini untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat atau perusahaan mereka.

Menurutnya pada tahun ini bayaran masuk RM3 akan dikenakan bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.
124

125

126

127

128

129

130