Berita

Memahami Hubungan Dua Hala Malaysia China, Ada Iktibar Disebaliknya

PUTRAJAYA – Kehadiran dua ekor panda gergasi China yang dinamakan Fu Wa dan Feng Yi ke Malaysia adalah satu lagi simbolik ikatan dua hala antara Malaysia-China khususnya dalam meraikan jalinan yang terpatri genap 40 tahun sejak 1974.

Namun begitu, kenapa ada pihak yang mempertikaikannya dan menaburkan pelbagai persepsi sedangkan mereka gagal memahami erti jalinan yang terikat antara Malaysia-China.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan mengajak rakyat keseluruhan untuk menilai apa yang berlaku dengan meneliti dan memahami fakta hasil daripada ikatan yang terjalin selama 40 tahun ini.

“Hubungan antara China dan Malaysia amat istimewa kerana pemimpin kita adalah antara perintis pemimpin asing yang berkunjung ke China selepas kuasa besar dunia ini membuka pintunya.”

Hubungan antara Malaysia dan China bermula dengan kunjungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin China Mao Tse Dong pada tahun 1974 dan hubungan tersebut berlanjutan sehingga kini.

“Malaysia adalah satu-satunya negara terawal yang menjalin hubungan dengan China dan dalam semangat kerjasama inilah, China dan Malaysia memperkukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama kita dalam bidang ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan pembangunan sosial.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam meraikan sambutan persahabatan 40 tahun antara Malaysia-China bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia yang berlangsung di Hotel Shangri-La pada 22 Mei 2014 (Khamis). Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dalam hubungan antara parti juga, UMNO turut meterai perjanjian melalui memorandum persefahaman (MoU) pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua parti yang berlangsung dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC, Beijing pada 4 Ogos 2010.

“Kita bukan hanya mahu berkongsi idea tetapi juga mempelajari struktur perkembangan yang telah berjaya membawa negara China menjadi kuasa ekonomi terbesar dan dikagumi di persada antarabangsa biarpun hidup dalam masyarakat yang pelbagai etnik,” katanya.

Jelasnya, perlu difahami bahawa China adalah negara ketiga eksport terbesar Malaysia yang menghasilkan pendapatan bernilai USD100 bilion setahun.

Dalam hal lain, program lima tahun membabitkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia-China dibuat yang membabitkan peningkatan kerjasama strategik semasa dalam ‘Perkongsian Strategik Komprehensif’ iaitu mengunjurkan dagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah AS$160 bilion menjelang 2017.

Oleh yang demikian, kehadiran pasangan panda yang dipinjamkan ke Malaysia itu boleh dianggap sebagai simbolik empat dekad hubungan diplomatik yang terjalin kerana Kerajaan China hanya memberikan haiwan terbabit kepada negara yang benar-benar memberi makna. Maka tentunya hubungan diplomatik di antara Malaysia-China akan menjadi bertambah akrab lagi.

IMG-20140522-WA0033

IMG-20140522-WA0034

IMG-20140522-WA0036

9FDD0A62-8ECD-4B1E-9731-7A3E5A2718CE_mw1024_s_n

sejarah-lawatan-hubungan-malaysia-pm-tun-abdul-razak-umno-bn-china-mao-tse-tung-china-parti-cpc-komunis