BeritaUcapan

Hayati Sirah Perjalanan Rasulullah, Selami Isra’ Mikraj Untuk Kesinambungan Kesejahteraan

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak masyarakat khususnya umat Islam untuk menghayati sirah perjalan Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk Mikraj untuk diaplikasi dalam perjuangan dan kehidupan seharian.

Katanya, Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai ikutan dan peristiwa Israk Mikraj adalah bukti kekuasaan Allah SWT.

“Kita sebagai manusia amat kerdil dan tidak akan mampu berbuat apa-apa tanpa izin-Nya maka tidak usahlah kita mendabik dada berbangga dan bermegah-megah dengan apa yang kita miliki hari ini sebaliknya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran dan menghargai nikmat yang ada hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sebagai pemimpin tempatan berasakan bertanggungjawab untuk menyerus seluruh rakyat bersama-sama menghidupkan perjuangan Rasulullah SAW dan memastikan amalan Baginda menjadi sebahagian dalam amalan seharian.

“Kesihatan tubuh badan, kewarasan akal fikiran dan kehidupan yang aman sejahtera tanpa pergolakan politik atau kacau-bilau yang berlaku perlu terus dipelihara dengan menanamkan rasa syukur dan bertekad untuk terus memeliharanya,” katanya lagi.