Berita

Pusat Internet 1Malaysia Putrajaya Jadi Realiti

PUTRAJAYA – Sebagai sebuah bandar terancang, Putrajaya yang juga Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah merealitikan impian setiap warganya dengan kewujudan Pusat Internet 1Malaysia di sini.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Mei 2014 (Sabtu).

“Saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) yang bertungkus-lumus dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk kemudahan rakyat dan pusat tersebut adalah perintis untuk lebih banyak lagi pusat seperti ini,” katanya.

Jelasnya, beliau yakin dengan kemudahan yang disediakan seperti ini maka ia dapat menggalakkan golongan anak-anak dan suri rumah untuk celik dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Selain itu, secara tidak langsung kewujudan pusat ini telah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan untuk menyelia pusat ini dan sebagai warga yang bertanggungjawab saya amat berharap agar kita sama-sama menghargai fasiliti yang telah disediakan.

“Saya juga difahamkan pusat ini memberi kelas latihan IT secara percuma kepada semua peringkat umur, dengan cara ini kita akan lebih bertanggungjawab apabila menggunakannya.”

Pusat Internet 1 Malaysia tersebut terletak di Fasa 10, Presint 9 untuk kemudahan para penduduk tempatan.

Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) merupakan satu program di mana pihak SKMM akan menyediakan capaian internet jalur lebar secara kolektif di 100 buah kawasan Program Perumahan Rakyat terutamanya di bandar-bandar besar terpilih di seluruh negara yang akan dibiayai dari dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision) dan dilaksana secara berperingkat.

123

124

125

126

128

129