Berita

BN Menang Di Teluk Intan, Syukur & Tahniah, Terima Kasih Jentera

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor amat menghargai penglibatan ahli-ahli UMNO Putrajaya yang sama-sama turun padang dan bertungkus-lumus dalam kempen PRK Teluk Intan sehingga akhirnya kejayaan berpihak kepada BN.

Beliau berterima kasih kepada anggota jentera khususnya dari Wilayah Persekutuan yang bersama-sama memastikan kemenangan di PDM Jalan laksamana lantas membantu mengembalikan kerusi Parlimen Teluk Intan kepada pentadbiran BN setelah calonnya, Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Katanya, kemenangan BN ini adalah satu pengiktirafan dari rakyat yang mahukan pihak yang benar-benar bertanggungjawab sebagai wakil mereka dan dalam masa yang sama menolak manipulasi, fitnah dan janji-janji pakatan pembangkang.

“Rakyat tahu siapa yang benar-benar mampu dan memahami permasalahan mereka apatah lagi telah terbukti bahawa pakatan pembangkang hanya pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya,” katanya.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung BN dan juga Ahli Parlimen Putrajaya, kejayaan BN ini adalah sangat bermakna yang membuktikan bahawa rakyat telah sentiasa memberi sepenuh sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN selaku kerajaan.

“Kita sedar bahawa parti-parti pembangkang telah cuba menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah terhadap kerajaan tetapi dengan kebijaksanaan rakyat khususnya para pengundi, terbukti mereka ditolak.”

Dalam hal ini, beliau mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua pengundi di kedua-dua tempat tersebut dan yakin bahawa BN akan memberikan perkhidmatan sebagaimana yang diharapkan rakyat iaitu untuk kesejahteraan dan kesinambungan pembangunan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang berbilang kaum dan sokongan yang diberikan oleh para pengundi menjadi bukti bahawa BN tetap menjadi pilihan rakyat iaitu parti yang mewakili pelbagai bangsa dan memahami aspirasi rakyat.

Sokongan yang diberikan oleh masyarakat Teluk Intan yang pelbagai kaum memberi perangsang kepada BN sebagai sebuah kerajaan untuk terus memperbaiki khidmat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kemenangan calon BN di Parlimen Teluk Intan yang diwakili oleh Presiden Gerakan, Mah Siew Keong.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap anggota jentera parti yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan gerak kerja dan calon yang mewakili BN beroleh kemenangan.

Kerusi Teluk Intan kembali kepada BN selepas calonnya mengalahkan calon DAP Dyana Sofya dengan undi majoriti 238. Mah mendapat 20,157 undi berbanding 19,919 undi yang diperolehi Dyana.