Berita

‘Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ Semarakkan Bulan Kemerdekaan

PUTRAJAYA – Tema sambutan hari kemerdekaan yang ke-57 tahun iaitu ‘Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ bertepatan dengan suasana terkini dalam memastikan setiap individu memahami dan menghargai kedaulatan sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum.

Sehubungan itu, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua para penduduk tempatan untuk bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan kibaran ‘Jalur Gemilang’.

“Marilah kita sama-sama selami konsep patriotisme dalam menghayati tema kemerdekaan tahun ini yang mengajak kita untuk menyusur asal kehidupan kita dengan mengenali dan menyanyangi negara kita Malaysia.

“Setiap rakyat perlu menghayati kenegaraan yang sebenarnya, siapa diri kita dan dari mana kita bermula dengan menyemai rasa cinta kepada Malaysia iaitu tanah tempat tumpahnya darah kita, di sini kita lahir, di sini kita bermula dan di sinilah kehidupan kita maka tentunya kita perlu pelihara apa yang kita ada,” katanya.