Perhimpunan Agung UMNO 2014 Bermula
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
• Saudara dan Saudari Pengacara
• Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO
• Yang Berhormat Tan Sri Mohamed Aziz, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO
• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Datin Sri Paduka Rosmah Mansor
• Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman
• Yang Berhormat Naib-Naib Presiden UMNO dan Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta barisan Exconya
• Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Bendahari UMNO
• Yang Berhormat Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO
• Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO
• Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Presiden Part i-parti komponen Barisan Nasional
• Yang Berbahagia Presiden Parti dan NGO serta Friend’s of Barisan Nasional
• Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
• Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi
• Yang Berbahagia Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-datuk dan para jemputan khas yang dihormati
• Delegasi parti-parti luar negara dan wakil-wakil kedutaan asing serta wakil duta negara-negara jemputan
• Wakil dan pemerhati kelab-kelab UMNO Luar Negara
• Para media massa, Sidang Perwakilan dan para pemerhati yang saya hormati sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
1. Alhamdulillah, marilah kita sama panjatkan kesyukuran kerana hanya dengan rahmat-Nya kita dapat sama-sama berkumpul di sini. Inilah Perhimpunan Agung UMNO iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi untuk mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
2. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa segala persiapan bagi menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2014 berjalan lancar. Persiapan ini telah pun dilaksana bermula dari ahli-ahli UMNO di akar umbi iaitu di peringkat Cawangan dan Bahagian termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang menunaikan tanggungjawabnya berteraskan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti.
3. Dilaporkan, jumlah perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini ialah seramai 2,752 orang.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Hadirin Sekalian
4. Sepanjang tahun 2014, UMNO bersama-sama Barisan Nasional telah berdepan pelbagai cabaran dari dalam dan luar parti. Tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17 amat memeritkan namun kita bersatu dalam kesedihan dan saling memberi sokongan dalam berdepan kehibaan. Kemudiannya dalam politik, kita berdepan pilihan raya kecil sebagaimana di Parlimen Teluk Intan, DUN Balingian dan DUN Pengkalan Kubor ekoran kematian penyandangnya namun bagi PRK Kajang, ia adalah permainan politik pembangkang yang sememangnya menjengkelkan.
5. Tentunya kita tidak mahu terikut-ikut dengan tingkah mereka yang lebih mengutamakan agenda peribadi daripada kepentingan rakyat, maka sewajarnya kita perkukuhkan keteguhan dalam barisan kita, perkuatkan UMNO dengan melaksanakan tanggungjawab, bantu rakyat yang susah, fahami keperitan masyarakat tanpa hanya tahu menyalahkan pihak lain sedangkan kita leka tanpa laksana kerja.
6. Untuk itu, Ibu Pejabat UMNO telah melaksanakan pelbagai latihan yang dilakukan di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Kampung Janda Baik yang digunakan sepenuhnya dalam memastikan agenda perjuangan untuk agama, bangsa dan negara terus dimantapkan.
7. Dalam masa yang sama, program-program berbentuk penerangan turut berlangsung di seluruh negara dengan memberikan penjelasan berkaitan isu-isu semasa misalnya pembentangan bajet, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) termasuklah pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
8. Semua alternatif dalam komunikasi digunakan oleh UMNO bagi memastikan perancangan yang dilaksana mencapai tahap maksima termasuklah mengaplikasikan media sosial yang diterajui oleh Ibu Pejabat UMNO.
9. Selain daripada pemantapan laman web umno-online.my, penggunaan media sosial UMNO juga diperluas sebagaimana facebook, twitter dan instagram yang tentunya diharapkan agar pelaksanaannya akan turut dibuat di semua peringkat termasuklah bahagian, cawangan dan ahli-ahli UMNO keseluruhannya.
10. Terbaru, aplikasi IT UMNO juga telah dilancarkan oleh YAB Presiden Selasa lalu yang mana menunjukkan bahawa parti kita sentiasa mengikut perubahan zaman, selain pendaftaran ahli UMNO yang bakal dibuat secara online.
11. Sehubungan itu, gerakan untuk menambahkan bilangan ahli UMNO turut diperluas dengan memastikan semua ahli-ahli terbabit turut berdaftar sebagai pengundi sebagaimana harapan dari Presiden parti sendiri.
12. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 26 November 2014, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,477,365 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,332 buah cawangan. Sebagaimana tahun lalu, bilangan ahli teramai berjumlah 527,946 orang diterajui oleh Negeri Sabah manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah Silam Sabah, dengan jumlah ahli seramai 50,094 orang sementara keahlian cawangan teramai dengan jumlah ahlinya 1,795 orang masih juga didahului oleh Kampung Tinosa Jaya /Libaran.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan
13. Perhimpunan Agung UMNO 2014 bukan hanya mengumpulkan ahli-ahli UMNO dari seluruh pelusuk negara tetapi dalam masa yang sama, perbincangan melibatkan parti-parti politik asing telah berlangsung. Pada 24 dan 25 November lalu, sekali lagi kita telah berjaya mengadakan Forum Antarabangsa yang bertajuk ‘A Hyperconnected World: Challenges In Nation Building’ sebagai pembuka tirai kepada persidangan kita ini.
14. Penyertaan parti-parti politik asing dalam forum terbabit adalah satu pengiktirafan kepada UMNO sebagai sebuah parti politik yang kukuh dan dihormati di peringkat antarabangsa, begitu juga dengan kehadiran mereka dalam persidangan ini.
15. Dilaporkan dalam perhimpunan kali ini, kita menerima delegasi luar negara seramai 117 orang mewakili 31 parti melibatkan 21 buah negara. Dengan ini, kita mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa:
INTERNATIONAL CONFERENCE ASIAN POLITICAL PARTIES (ICAPP) diwakili oleh – JATIYA PARTY, BANGLADESH
1. MALDIVES
PROGRESSIVE PARTY OF MALDIVES (PPM)
2. BOSNIA & HERZEGOVINA
DEMOCRATIC ACTION PARTY-BOSNIA HERZEGOVINA
3. BANGLADESH
BANGLADESH AWAMI LEAGUE
BANGLADESH NATIONALIST PARTY (BNP)
NATIONAL SOCIALIST PARTY
4. CAMBODIA
FUNCINPEC Party
CAMBODIA PEOPLE’S PARTY (CPP)
5. CHINA
COMMUNIST PARTY OF CHINA (CPC)
6. INDONESIA
PARTAI GOLKAR
PARTAI DEMOKRAT
PARTAI GERAKAN INDONESIA RAYA (GERINDRA)
7. DEMOCRATIC PEOPLE’S REPUBLIC OF KOREA
WORKER’S PARTY OF KOREA
8. NEPAL
RASTRIYA PRAJATANTRA PARTY (RPP)
9. KAZAKHSTAN
NUR OTAN PARTY
10. KENYA
WIPER PARTY
11. LAO PEOPLE’S DEMOCRATIC REPUBLIC
LAO PEOPLE’S REVOLUTIONARY PARTY (LPRP)
12. MOROCCO
JUSTICE AND DEVELOPMENT PARTY
NATIONAL COALITION OF INDEPENDENT PARTY
13. NIGER
NIGERIEN PARTY FOR DEMOCRACY AND SOCIALISM-TARAYYA (PNDS)
14. PHILIPPINES
LIBERAL PARTY OF PHILIPPINES
UNITED BANGSAMORO JUSTICE PARTY (UBJP) OF MORO ISLAMIC LIBERATION FRONT (MILF)
15. PALESTINE
PALESTINE NATIONAL LIBERATION MOVEMENT-FATAH
ISLAMIC RESISTANCE MOVEMENT-HAMAS
16. SRI LANKA
SRI LANKA FREEDOM PARTY
SRI LANKA MUSLIM CONGRESS (SLMC) PARTY
17. SINGAPORE
PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (PKMS)
18. THAILAND
PHEU THAI PARTY
DEMOCRAT PARTY
19. TIMOR-LESTE
DEMOCRATIC PARTY OF TIMOR-LESTE
20. TURKEY
JUSTICE AND DEVELOPMENT PARTY (AK-PARTY) TURKEY
21. VIETNAM
COMMUNIST PARTY OF VIETNAM
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan hadirin perwakilan,
16. UMNO tidak pernah mengetepikan golongan muda malahan penglibatan mereka amat kita alu-alukan. Ini terbukti dengan kehadiran para penuntut institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara yang dihimpunkan atas nama Mahasiswa Nasional.
17. Sukacita juga saya laporkan seramai 1,452 petugas media dari 106 akhbar dan agensi berita membabitkan 96 agensi tempatan dan 10 agensi antarabangsa, termasuklah pengamal media sosial dan portal berita online terlibat membuat liputan dalam persidangan ini.
18. Sehubungan itu, saya ingin menyeru para perwakilan sekalian termasuklah diri saya sendiri, dari akar umbi hinggalah ke peringkat kepimpinan tertinggi agar kita terus kekal kukuh bersama-sama, bukan sahaja dalam perhimpunan ini yang tentunya bakal kita perbincangkan hala tuju parti kita nanti, tetapi juga untuk hari-hari seterusnya agar kesinambungan perjuangan yang kita dukung ini akan terus dihayati untuk diwariskan kepada anak cucu kita kelak. Marilah kita terus bersatu, bersetia dan berkhidmat dengan azam sepakat untuk kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.
19. Ketepikanlah iri hati, buang hasad dengki tanpa ada agenda peribadi yang hanya akan meracun diri, matlamat bangsa kita penuhi dengan tekad pilihan raya akan kita menangi. Sesungguhnya, perjuangan kita adalah untuk agama, bangsa dan negara Malaysia tercinta.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
20. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berlangsung ini.
21. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2014.
Sekian
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh