UMNO Perhebat Gerak Kerja Pastikan Kebajikan Untuk Keselesaan Semua
PUTRAJAYA – Sikap prihatin UMNO Putrajaya yang digerakkan melalui Biro Kebajikan adalah bukti wujudnya toleransi serta sikap kasih sayang terhadap golongan yang tidak bernasib baik dan mendapat keuzuran. Dalam apa jua keadaan, golongan ini tidak akan disisih dalam arus kemajuan masyarakat malah memberi peransang kepada mereka untuk bersama-sama menyumbang dan membangunkan masyarakat setempat.
Biro Kebajikan ini telah mengenalpasti mereka yang ditimpa musibah, uzur, kurang upaya dan tidak bernasib baik bagi memastikan kehidupan seharian mereka tidak terbeban dan setiap kesusahan dapat diringankan. Dalam hal ini, isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datin Seri Anggeriani Sentiyaki sendiri telah mengetuai biro tersebut dengan mengadakan lawatan ke Hospital Putrajaya pada 13 April 2015, Isnin dengan menziarahi pesakit yang juga warga Putrajaya.
Biro terbabit juga turut berkunjung ke rumah seorang ibu tunggal, Puan Monaliza Jaafar di Presint 11 dan juga ke rumah seorang warga orang kelainan upaya (OKU) di Presint 8. Kata-kata semangat diberikan kepada mereka berserta sedikit cenderamata dan sumbangan bagi membantu mengurangkan beban mereka dalam kehidupan.
Semoga usaha berterusan Biro Kebajikan UMNO Bahagian Putrajaya dalam usaha memastikan keselesaan dan kesejahteraan setiap anggotanya mendapat keberkatan dan bersama-samalah seluruh warga tempatan untuk menyokong usaha ini.
You must be logged in to post a comment.