Berita

Cabaran Dalam UMNO Lumrah Parti Politik Yang Dinamik – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 26 Ogos – Masalah yang dihadapi UMNO sama ada dalam organisasi atau kepimpinan adalah lumrah bagi mana-mana parti politik yang dinamik, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, bagaimanapun berkata cabaran berkenaan mampu ditangani parti keramat orang Melayu itu jika ia didasari dengan semangat ketaatan dan kesetiaan.

“Walaupun pemimpin datang dan pergi, ketaatan, kesetiaan sesiapa pun yang memimpin UMNO tetap utuh sebagai parti orang Melayu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga anggota Parlimen Putrajaya.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata putaran hayat politik UMNO boleh dilihat sejak 1988 apabila parti itu diharamkan sehingga lahir parti Semangat 46 yang merupakan serpihan UMNO.

Parti PAS turut menghadapi masalah sama apabila ia kini berpecah sehingga lahir satu parti baharu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), katanya.

Ahmad Zahid berkata adalah lumrah untuk seorang pemimpin diuji bagi melihat sejauh mana tahap daya saing, daya tahan serta daya juang mereka.

“Pemimpin diuji dan kini Presiden UMNO sedang diuji. Ujian pernah dilalui pemimpin lain dalam bentuk berbeza,” katanya.

Beliau berkata tidak salah untuk anggota UMNO mempunyai perbezaan pendapat, namun ia perlu diraikan dengan penuh kebijaksanaan dan ketertiban bukannya secara semborono.
Ahmad Zahid berkata jawatan dalam parti tidak kekal dan hanya bersifat sementara, namun pemimpin yang dipilih seharusnya menggalas tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan tertentu.

“Saya yakin keberadaan dalam posisi sama ada cawangan atau bahagian, negeri apatah lagi nasional adalah merupakan jawatan berbentuk sementara.

“Kita semua ahli UMNO harus beristiqamah kepada suatu harakah atau gerakan yang ia merupakan keseimbangan dalam perjuangan,” kata Ahmad Zahid.

Naib Presiden UMNO itu berkata bahawa ‘kumpulan suara minoriti’ boleh menguasai ‘majoriti senyap’ kerana mereka mempunyai sistem komunikasi yang cukup sistematik sehingga pembohongan dianggap sebagai kebenaran.

“Kita sebagai pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh lagi hidup dalam zon selesa sebaliknya harus keluar daripada zon itu.

“Situasi politik (sekarang) adalah berbeza dengan situasi satu dekad atau 10 tahun yang lalu, mungkin berbeza dengan sewaktu UMNO diasaskan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan kerusi Parlimen Putrajaya perlu dipertahankan Barisan Nasional (BN) pada masa-masa akan datang kerana kegagalan berbuat demikian merupakan manifestasi kepada tumbangnya UMNO dan BN.

“Namun, keyakinan saya amat kental dengan gandingan kepimpinan Tengku Adnan”, katanya.

11882332_891816534186963_3420617270625782417_o

11894570_891816834186933_3975123783524026416_o

11900143_891817630853520_2863445403059815237_o

IMG-20150826-WA0003

IMG-20150826-WA0004

IMG-20150826-WA0005

IMG-20150826-WA0007

IMG-20150826-WA0008

IMG-20150826-WA0012

IMG-20150826-WA0014