Selamat Hari Malaysia 2015, Pastikan Kita Terus ‘Sehati Sejiwa’
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan Selamat Hari Malaysia 2015 dengan menyeru semua warga tempatan untuk terus bersama-sama memperkukuh perpaduan dan menyelami matlamat ‘Sehati Sejiwa’.
Katanya, berteraskan konsep perpaduan dan semangat bersatu padu maka sewajarnya seluruh warga negara berusaha untuk terus memastikan negara ini terus sejahtera.
“Kita adalah masyarakat yang berbilang bangsa, mempunyai penduduk pelbagai kaum dengan anutan agama berbeza dan budaya yang tidak sama namun atas kesatuan dalam kepelbagaian ini kita dapat mengecap keamanan atas persefahaman yang ada,” katanya.
Sehubungan itu, katanya nikmat kesejahteraan yang ada sekarang ini mesti sama-sama dipertahan dengan menolak pelbagai perkara negatif termasuk provokasi pihak tertentu.
“Memang ada pihak luar yang irihati dengan keamanan dan perpaduan yang kita kecapi dan mereka ini cuba menanamkan sifat kebencian dengan pelbagai manipulasi dan provokasi namun saya yakin selagi mana kita terus ‘sehati sejiwa’ maka tentunya tidak akan ada mana-mana pihak dapat pecahbelahkan kita,” katanya lagi.