Berita

Jerebu Melanda Putrajaya, Utamakan Kesihatan

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan berada dalam keadaan terdedah kepada cuaca luar memandangkan keadaan jerebu yang melanda persekitaran.

Beliau juga meminta orang ramai untuk mengutamakan kesihatan khususnya kepada golongan yang mudah terdedah kepada penyakit sebagaimana kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung serta golongan warga emas.

Keadaan jerebu di seluruh negara setakat 9 pagi ini tidak menunjukkan perubahan walaupun terdapat beberapa daripada 34 kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat malam tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Banting, Selangor yang mencatatkan bacaan tahap bahaya iaitu 207 pada 11 malam tadi menunjukkan penurunan kepada tahap tidak sihat iaitu 177.

Ekoran bacaan IPU yang masih menghampiri 200, Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka pada hari ini.

Selain Banting, Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh mencatatkan bacaan IPU 189, diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (183) Jalan Tasek, Ipoh (183), Balok Baru, Kuantan (180), Nilai (179), Kemaman,(176) dan Seremban (171).

Kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Putrajaya (169), Pelabuhan Kelang (168), Bukit Rambai (165), Seri Manjung (165), Jerantut (162), Port Dickson (160), Seberang Jaya 2, Perai (157), Shah Alam (155), Bandaraya Melaka (153), Cheras (153) dan Indera Mahkota, Kuantan (153).

Selain itu, di Petaling Jaya mencatatkan bacaan IPU 151, Sri Aman (151), Kampung Air Putih, Taiping (145), Sarikei (136), Perai (131), Muar (130), Universiti Sains Malaysia (127), Bakar Arang, Sungai Petani (123), Sibu (117), Samarahan (115), Paka (115), Kuala Selangor (113), Kuching (109), Pasir Gudang (104) dan Larkin Lama (102).

IPU antara 0 dan 50 dikategori baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas adalah berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.