Ucapan Sempena Perhimpunan AgungUMNO 2015
Saudara dan Saudari Pengacara
• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO, Timbalan Presiden, Yang Amat Berhormat Dan Yang Berhormat Naib-naib Presiden, Ketua-ketua Pergerakan Sayap dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO serta barisan kepimpinan bahagian empat peringkat
• Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Presiden Parti-parti komponen Barisan Nasional dan NGO serta Friend’s of Barisan Nasional dan para jemputan khas
• Delegasi parti-parti luar negara dan wakil-wakil kedutaan asing serta wakil duta negara-negara jemputan
• Para media massa, Sidang Perwakilan dan para pemerhati yang saya hormati sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana dapat berkumpul dalam Dewan ini bagi memastikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 menjadi realiti. Inilah satu-satunya parti yang tetap teguh meneruskan perjuangan, sebagaimana matlamat penubuhannya hampir 70 tahun lalu iaitu, mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
2. UMNO adalah parti yang berteraskan agama dan bangsa demi kedaulatan negara tanpa meminggirkan mana-mana kaum lain. Atas konsep perpaduan maka kesejahteraan dapat dipelihara dan masyarakat Malaysia dapat hidup aman walaupun pelbagai bangsa, rumpun berbeza, agama tidak sama dan budaya yang berlainan. Maka marilah kita sama-sama terus memanjatkan kesyukuran dan menghargai apa yang kita miliki, menjaga yang ada, memartabat maruah, mempertahan kemerdekaan, menghayati kedaulatan dan terus memupuk perpaduan.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
3. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa segala persiapan bagi melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO 2015, telah berjalan dengan lancar. Persiapan ini telah dilakukan membabitkan hal-hal yang dimulakan di akar umbi iaitu, melibatkan ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian, meliputi keseluruhan keanggotaan parti termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Tanggungjawab ini dibuat dengan telus secara muafakat berpaksikan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti.
4. Dilaporkan, jumlah perwakilan UMNO yang hadir dalam persidangan hari ini ialah seramai 2,654 orang.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Perwakilan Sekalian
5. Perhimpunan Agung UMNO kali ini memberi makna yang cukup besar, bukan sahaja kepada ahli-ahlinya tetapi juga kepada masyarakat keseluruhan, khususnya untuk melihat kesinambungan perjuangan agar terus relevan. Tentunya, sebagai sebuah parti politik yang menjadi tunjang pentadbiran negara bersama-sama kompenan lain dalam Barisan Nasional, UMNO menjadi sasaran dalam pelbagai bentuk. Manipulasi, provokasi dan persepsi diangkat menjadi realiti.
6. Media massa dan media sosial disalahguna oleh segelintir pihak bagi memburukkan UMNO dan kepimpinannya. Serangan bertali arus dari pihak luar yang sememangnya mahu melihat kehancuran UMNO berlaku, namun apa yang lebih dikesalkan ada juga segelintir ahli-ahli UMNO sanggup menjadi duri dalam daging, api dalam sekam, gunting dalam lipatan dengan mengambil pendekatan bertentangan kehendak parti.
7. Cabaran silih berganti, rintangan tetap ditempuhi, apa-apa halangan bukan alasan untuk berhenti sebaliknya ia menguji keutuhan, lantas menjadi semangat dengan kesatuan ahlinya untuk bergerak sederap mara ke hadapan. Bukan sedikit masalah yang dihadapi, bukan mudah untuk menanganinya, namun mengalah tidak sekali-kali.
8. Setiap yang berlaku pastinya akan ditempuhi secara terbuka, setiap permasalahan akan diperhalusi punca dan akibatnya, setiap keputusan yang bakal dibuat pula, telah diperincikan atas sabit kesalahan dengan tujuan utama adalah untuk memastikan, UMNO terus sejahtera. Keharmonian parti adalah yang utama kerana UMNO memerlukan mereka yang sentiasa komited dalam perjuangan dan bukannya untuk menghancurkan apatah lagi atas kepentingan peribadi.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,
9. Dalam tahun 2015, UMNO dan Barisan Nasional diuji lagi apabila kita kehilangan pemimpin iaitu Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dalam tragedi nahas helikopter. Sesungguhnya, kehilangan allahyarham amat dirasai. Marilah kita bertafakur sejenak dan sedekahkan Al-fatihah kepada Allahyarham, agar rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
10. Atas kehilangan tersebut, kita telah berdepan dengan pilihan raya kecil Rompin yang mana calon Barisan Nasional, Datuk Hasan Ariffin berjaya mengekalkan kerusi Barisan Nasional. Tahniah kepada beliau dan semua jentera yang telah bertungkus-lumus bersama-sama memastikan kejayaan BN.
11. Sejurus selepas itu, kita juga telah terlibat dalam PRK Permatang Pauh yang diadakan ekoran penyandangnya hilang kelayakan akibat salah laku moral. Biarpun keputusan tidak berpihak kepada BN namun kita terima dengan hormat atas dasar demokrasi.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,
12. Matlamat UMNO tidak pernah berubah. Perjuangannya masih lagi berteraskan kepada tujuan asal asas dan penubuhannya namun pendekatannya sentiasa diperbaharui agar bersesuaian dengan peredaran zaman. Sehubungan itu, UMNO melalui Biro Latihan telah menggerakkan program yang dinamakan Keris 2314 sebagai persediaan berdepan dengan landskap politik survival bangsa Melayu.
13. Dalam masa yang sama, Ibu Pejabat UMNO melalui Biro KPI UMNO Malaysia sedang aktif untuk melihat prestasi parti di setiap bahagian dan negeri sebagaimana hasrat Presiden parti. Turut dilaksana, program-program berbentuk penerangan dan penjelasan membabitkan isu-isu semasa dibuat di seluruh negara khususnya dalam hal-hal melibatkan kepentingan rakyat dan anggota UMNO.
14. Lebih dari itu, UMNO turut menggerakkan semua ahlinya selaku tunjang utama parti untuk menjadi jentera paling berkesan dalam memastikan pertambahan jumlah keahlian di samping berdaftar sebagai pemilih lantas dapat menunaikan tanggungjawab menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.
15. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 9 Disember 2015, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,528,704 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,502. Bilangan ahli teramai iaitu 547,700 orang diterajui oleh Negeri Sabah manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi masih lagi didahului oleh bahagian Silam, Sabah, dengan jumlah ahli seramai 50,342 orang sementara keahlian cawangan teramai dengan jumlah ahlinya 2,051 orang ialah Kampung Batu Putih Darat, Libaran, Sabah.
16. Walaupun kita sedar ada cawangan-cawangan transit yang jumlah keahliannya lebih besar iaitu Cawangan Dataran Merdeka dan Cawangan PWTC, namun kita tidak ambil kira kedua-dua cawangan ini kerana ahli-ahlinya akan diagihkan kepada cawangan yang lain.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri,
17. Dalam kelansungan parti berdepan dugaan dan cabaran, UMNO masih tetap mengekalkan momentum cemerlang dengan hubungan langsung antara parti-parti politik di peringkat antarabangsa. Sememangnya ikatan akrab dan hubungan diplomatik antara UMNO dengan parti-parti politik asing amat membanggakan malah kita sentiasa menerima kunjungan rasmi daripada mereka selain menjadi rujukan dan memetrai perjanjian persefahaman serta berkongsi pendapat sama ada dari rantau Asia, Timur Tengah, Eropah dan juga negara-negara Barat.
18. Dilaporkan dalam perhimpunan kali ini, kita menerima delegasi luar negara seramai 119 orang delegasi, mewakili 33 parti melibatkan 21 buah negara. Dengan ini kita mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa termasuklah daripada
1. INTERNATIONAL ASIAN POLITICAL PARTIES (ICAPP)
2. WIPER DEMOCRATIC MOVEMENT PARTY, KENYA
3. SRI LANKA MUSLIM CONGRESS (SLMC) PARTY, SRI LANKA
4. ALL CEYLON MAKKAL CONGRESS, SRI LANKA
5. COMMUNIST PARTY OF CHINA
6. GOVERNMENT OF AFGHANISTAN, AFGANISTAN
7. BANGLADESH AWAMI LEAGUE, BANGLADESH
8. BANGLADESH NATIONALIST PARTY (BNP), BANGLADESH
9. CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY, CAMBODIA
10. FUNCINPEC PARTY, CAMBODIA
11. DEMOCRATIC PEOPLE’S REPUBLIC OF KOREA
12. PARTAI DEMOKRAT, INDONESIA
13. PARTAI GOLKAR, INDONESIA
14. PARTAI DEMOKRASI INDONESIA PERJUANGAN
15. PARTAI KEBANGKITAN BANGSA, INDONESIA
16. PARTAI KEADILAN SEJAHTERA, INDONESIA
17. PARTAI PERINDO, INDONESIA
18. PARTAI GERAKAN INDONESIA RAYA (GERINDRA)
19. PROGRESSIVE PARTY OF MALDIVES (PPM)
20. UNION SOLIDARITY AND DEVELOPMENT PARTY, MYANMAR
21. RASTRIYA PRAJATANTRA PARTY (RPP), NEPAL
22. PALESTINE NATIONAL LIBERATION MOVEMENT (FATAH)
23. ISLAMIC RESISTANCE MOVEMENT (HAMAS), PALESTINE
24. LIBERAL PARTY, PHILIPPINES
25. MORO ISLAMIC LIBERATION FRONT (MILF), PHILIPPINES
26. PEOPLE’S ACTION PARTY (PAP), SINGAPORE
27. PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU SINGAPURA (PKMS)
28. NATIONAL CONGRESS PARTY, SUDAN
29. NATIONAL CONGRESS FOR TIMORESE RECONSTRUCTION (CNRT), TIMOR LESTE
30. DEMOCRATIC PARTY OF TIMOR-LESTE
31. AK PARTY (JUSTICE AND DEVELOPMENT PARTY), TURKEY
32. DEMOCRAT PARTY, THAILAND
33. COMMUNIST PARTY OF VIETNAM
34. REPUBLICAN PARTY, USA
19. Turut bersama-sama kita dalam persidangan hari ini juga adalah delegasi dari ASEAN Mosque Festival.
20. Dalam masa yang sama, kita juga mengalu-alukan penyertaan golongan muda yang tidak pernah kita nafikan termasuklah para penuntut di peringkat pengajian tinggi dari dalam dan luar negara yang kita himpunkan bersama para perwakilan dalam persidangan ini.
Yang Amat Berhormat Datuk Sri dan para perwakilan yang dihormati sekalian,
21. Sesungguhnya persidangan kita ini bukan sahaja mendapat perhatian ahli-ahli UMNO tetapi juga diikuti oleh semua pihak termasuklah liputan media dalam dan luar negara.
22. Sukacita juga saya maklumkan bahawa sebanyak 68 agensi media cetak dan elektronik telah berdaftar, terdiri daripada 55 media tempatan dan 13 buah media antarabangsa, yang melibatkan sejumlah 1,778 orang kru membuat liputan dalam Perhimpunan Agung ini.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
23. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2015.
24. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2015.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh