Putrajaya Turut Warnani Perhimpunan Agung UMNO 2015
PUTRAJAYA – Para perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk bersama-sama menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang berlangsung bermula 8 – 12 Disember.
Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015 dimulakan pada 10 Disember dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO tiba pada pukul 9 pagi bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut oleh Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaludin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Najib, yang berpakaian baju Melayu berwarna merah diiringi Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Komander Ramlan Ramli serta 150 anggota ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Najib kemudian menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh para anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.
Terdahulu, lagu tema perhimpunan pada kali ini ‘Melayu Bersatu’ dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selesai majlis itu, Najib bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden bertajuk ‘UMNO: Menyempurnakan Sebuah Perjuangan’, sekaligus merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015.
Seramai 2,742 perwakilan dari 191 bahagian menghadiri perhimpunan tahunan selama tiga hari hingga Sabtu itu.
You must be logged in to post a comment.